PARLIMEN: Kerajaan mahu perkukuh perlindungan pemberi maklumat

PARLIMEN: Kerajaan mahu perkukuh perlindungan pemberi maklumat

AZALINA OTHMAN SAID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebanyak 74,614 aduan berkaitan kelakuan tidak wajar telah diterima dan disiasat dari tahun 2011 hingga 2023, manakala seramai 1,139 individu telah diiktiraf sebagai pemberi maklumat dan diberi perlindungan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, kerajaan komited untuk memperkukuh perlindungan terhadap pemberi maklumat sebagai sebahagian daripada usaha memerangi rasuah serta meningkatkan integriti dalam sektor awam dan swasta.

Namun katanya, meskipun Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711) telah dikuatkuasakan lebih sedekad, masih terdapat beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki bagi memastikan keberkesanan pelaksanaannya selaras dengan matlamat Inisiatif Pencegahan Rasuah Nasional (NACP).

“Kerajaan menyedari keperluan menambah baik perundangan sedia ada agar selari dengan amalan terbaik global dalam melindungi pemberi maklumat,” katanya ketika membentangkan bacaan kali kedua Rang Undang-Undang Perlindungan Pemberi Maklumat (Pindaan) 2025 di Dewan Rakyat, hari ini.

Azalina berkata, beberapa negara seperti United Kingdom, Australia dan New Zealand telah melaksanakan mekanisme perlindungan yang lebih menyeluruh terutama daripada aspek pendedahan maklumat sulit atau tertakluk kepada sekatan kerahsiaan.

“Undang-undang di negara-negara tersebut memperuntukkan bahawa sekiranya pendedahan dibuat secara jujur dan demi kepentingan awam, ia boleh diiktiraf serta dilindungi, meskipun melibatkan maklumat yang biasanya dilindungi oleh peruntukan kerahsiaan atau kontrak,” ujarnya.

Menurut Azalina, amalan itu menggambarkan keperluan untuk meletakkan kepentingan awam mengatasi sekatan kerahsiaan dalam usaha menggalakkan lebih ramai tampil membuat pendedahan tanpa rasa takut terhadap tindakan undang-undang.

Beliau turut merujuk amalan di New Zealand dan Jepun yang memperuntukkan penarikan balik perlindungan sekiranya pendedahan dibuat dengan niat jahat, mengandungi maklumat palsu atau bertujuan meraih keuntungan peribadi dan memudaratkan pihak lain.

“Berdasarkan amalan global ini, Malaysia perlu mengambil pendekatan progresif dan menyeluruh dalam memperkukuh sistem perlindungan pemberi maklumat.

“Langkah ini penting bagi mewujudkan persekitaran yang selamat dan kondusif agar lebih ramai individu berani tampil melaporkan salah laku demi kepentingan negara dan masyarakat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN