KUALA LUMPUR: Sebanyak 83,808 penghuni kini direkodkan berada dalam penjara.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata, jumlah tersebut melebihi kapasiti yang ditetapkan iaitu 76,311 orang.
“Kapasiti kita ialah 76,311. Ada tak lebihan? Betul ada, saya tidak nafikan. Ada kesesakan,” katanya ketika menggulung Laporan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) 2023 di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Menurut Saifuddin, sebanyak 30 peratus daripada kesesakan di penjara adalah akibat tahanan reman.
“Daripada 83,808 itu, sebanyak 65 hingga 70 peratus adalah kes terkait dadah antaranya memiliki dan memasuki dadah,” katanya.
Sementara itu, Saifuddin berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) meluluskan sebanyak 10,416 permohonan menjadi warga negara sehingga Jun lalu.
Menurutnya, daripada jumlah itu sebanyak 70 peratus adalah permohonan daripada anak tidak sah taraf dan anak angkat.
“Ini memberikan kesan yang besar kepada kehidupan hari muka mereka berbanding kalau biarkan mereka menunggu sehingga lima, 10 atau 15 tahun.
“Saya fikir prinsip keadilan, kemanusiaan. Mengangkat harga diri dan kita sudah berikan harga diri,” katanya.-UTUSAN