83 projek Wakaf Air siap dilaksana, kos cecah RM3.9 juta

PARLIMEN: 83 projek Wakaf Air siap dilaksana, kos cecah RM3.9 juta

FADILLAH YUSOF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebanyak 83 projek Wakaf Air berjaya dilaksanakan sejak program itu dimulakan pada tahun 2021 melibatkan kos keseluruhan sebanyak RM3,945,992.98.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, Program Wakaf Air yang dilancarkan hasil kerjasama antara Kementerian dan Yayasan Wakaf Malaysia (YWM) bertujuan menangani masalah bekalan air dan pembetungan di kawasan luar bandar serta pedalaman.

“Keutamaan diberikan kepada kawasan yang kritikal, sukar dicapai oleh operator air dan pembetungan, atau mengalami masalah tekanan dan kapasiti air yang tidak mencukupi.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Program ini dimulakan selepas termeterainya Memorandum Persefahaman (MoU) antara kementerian dan YWM pada Disember 2020, dan masih diteruskan hingga kini,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN–Kubang Kerian) yang meminta penjelasan berhubung status semasa Program Wakaf Air dan cadangan untuk memasukkannya secara rasmi ke dalam Pelan Induk Sumber Air Negara atau Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13).

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, kementeriannya komited memperkukuh kemampanan perkhidmatan bekalan air dan pembetungan, selaras dengan Dasar Air Negara menerusi Fokus Utama 4: Bekalan Air Mampan.

Katanya, antara strategi utama yang diberi perhatian ialah aspek pembiayaan bagi menampung kos operasi dan pelaburan jangka panjang infrastruktur air negara.

“Dalam kerangka ini, pembiayaan melalui Wakaf Air dikenal pasti sebagai salah satu pendekatan berpotensi untuk menyokong pembangunan infrastruktur, khususnya di kawasan yang masih kurang akses kepada perkhidmatan air bersih.

“Kementerian menyokong penuh inisiatif ini sebagai instrumen pembiayaan inovatif yang melengkapi sumber sedia ada, dan mampu memberi impak sosial secara langsung kepada komuniti,” katanya.

Tambah beliau, pendekatan ini juga selari dengan aspirasi kerajaan untuk menggalakkan penglibatan pihak pemegang taruh termasuk sektor swasta dan masyarakat umum dalam pembangunan sektor air secara inklusif.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN