KUALA LUMPUR: Sebanyak 465 kes pencerobohan tanah Persekutuan direkodkan di seluruh negara sejak 2015 sehingga Mei tahun ini .
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, jumlah tersebut direkodkan daripada Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) dengan melibatkan 26 aduan pencerobohan di Pulau Pinang.
Menurutnya, daripada jumlah 26 aduan tersebut, sebanyak 18 lot tanah Persekutuan di negeri berkenaan telah diceroboh.
“Bagi menangani isu ini, JKPTG melaksanakan pelarasan bersama agensi penguat kuasa dan jawatankuasa pengguna bagi mempercepatkan tindakan.
“Notis penguatkuasaan di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara telah dikeluarkan bagi mengarahkan pengosongan kawasan yang diceroboh,” katanya dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Sebagai rekod Seksyen 425 Kanun Tanah Negara memperuntukkan kuasa bagi pengeluaran notis pengosongan dan tindakan penguatkuasaan terhadap pencerobohan tanah kerajaan.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan yang dikemukakan Dr. Siti Mastura binti Muhammad (PN- Kepala Batas) yang meminta perincian jumlah tanah milikan Kerajaan Persekutuan yang diceroboh di seluruh negara dan khusus di Pulau Pinang. – UTUSAN









