KUALA LUMPUR: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) telah menyiasat sebanyak 1,766 aduan berkaitan pengabaian dan penderaan haiwan dari tahun 2020 hingga Jun 2025 dengan 52 kes daripadanya membawa kepada sabitan kesalahan di mahkamah.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, JPV telah membangunkan Pelan Strategik Kebajikan Haiwan Kebangsaan 2021–2030 bagi menangani isu penderaan dan pembunuhan haiwan di negara ini.
“Menurut laporan JPV, sebanyak 1,766 aduan berkaitan pengabaian dan penderaan haiwan telah disiasat sepanjang tempoh berkenaan. Daripada jumlah itu, 52 kes telah disabitkan kesalahan di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015.
“Bagi menangani isu tersebut secara menyeluruh, JPV melaksanakan Pelan Strategik Kebajikan Haiwan Kebangsaan 2021–2030 sebagai rangka kerja jangka panjang bagi memastikan pengurusan haiwan di Malaysia mematuhi piawaian kebajikan serta membentuk masyarakat yang penyayang dan berperikemanusiaan,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Wong Chen (PH-Subang) mengenai rangka kerja kebangsaan menyeluruh untuk menangani penderaan haiwan terbiar dan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dan pakar kebajikan haiwan untuk melaksanakan pendekatan yang bersepadu dan komprehensif.
Arthur berkata, kementerian bersama JPV akan meneruskan kerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan pakar kebajikan haiwan bagi memperkasa inisiatif kebajikan haiwan di negara ini.
Katanya, antara inisiatif yang dilaksanakan termasuk program libat urus bersama PBT bagi menangani isu pembunuhan haiwan, pengurusan haiwan terbiar serta sistem pengurusan aduan berkaitan kebajikan haiwan menerusi Sistem MyAnimal Welfare.
“Kementerian turut bekerjasama dengan media untuk menyampaikan maklumat terkini berkaitan isu penderaan, pengabaian dan kebajikan haiwan kepada orang ramai.
“Selain itu, kementerian juga telah membangunkan pakej pendidikan kebajikan haiwan untuk prasekolah yang mengandungi bahan pembelajaran bagi meningkatkan kesedaran awal kanak-kanak tentang kepentingan menjaga kebajikan haiwan,” ujarnya.
Menjawab soalan tambahan mengenai kaedah Trap-Neuter-Vaccinate-Release (TNVR) bagi mengawal populasi haiwan terbiar, Arthur berkata, kementerian tidak bercadang menjadikan pendekatan itu sebagai dasar rasmi.
Ini kerana katanya, kementerian lebih cenderung melaksanakan pendekatan “tangkap dan tempatkan semula” di mana haiwan hanya dilepaskan sekiranya ia mempunyai pemilik.
“Kaedah ini dilihat lebih berkesan dalam mengawal populasi haiwan terbiar,” katanya. – UTUSAN










