Parlimen: 1,604 kemalangan maut libat lori, bas sejak 2020

Parlimen: 1,604 kemalangan maut libat lori, bas sejak 2020

ANTHONY LOKE SIEW FOOK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebanyak 1,604 kes kemalangan maut melibatkan lori dan bas dicatatkan di jalan-jalan utama di seluruh negara sejak tahun 2020 sehingga Jun 2025.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, daripada jumlah itu, 84 peratus membabitkan lori manakala 16 peratus melibatkan bas kali gus mewakili 5.13 peratus daripada keseluruhan 31,277 kemalangan maut yang direkodkan dalam tempoh sama.

Katanya, pelbagai inisiatif sedang dilaksanakan bagi menangani isu keselamatan jalan raya terutama melibatkan kenderaan berat.

“Antara langkah utama ialah penguatkuasaan penggunaan Peranti Had Laju (SLD) secara berfasa bermula 1 Oktober 2025 terhadap kenderaan perdagangan.

“SLD ini berfungsi menghadkan kelajuan maksimum kenderaan bagi mengurangkan risiko nahas maut,” katanya dalam jawapan bertulis di laman rasmi Parlimen, hari ini.

Beliau menjawab soalan Onn Abu Bakar (PH–Batu Pahat) yang meminta penjelasan mengenai jumlah kemalangan maut melibatkan lori dan bas sejak 2020 serta punca yang menyumbang kepada kejadian itu.

Mengulas lanjut, Siew Fook berkata, pemakaian tali pinggang keledar bagi penumpang dan pemandu bas ekspres dan bas persiaran juga telah diwajibkan bermula 1 Julai 2025, khusus bagi kenderaan yang dibina selepas 1 Januari 2020.

“Tindakan serta-merta menggantung lesen memandu vokasional (PSV/GDL) juga akan dikenakan terhadap pemandu kenderaan berat yang terlibat dalam kemalangan mengakibatkan kematian atau kecederaan serius, sementara siasatan dijalankan.

“Pemandu yang didapati bersalah atau menerima notis kesalahan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 boleh dikenakan pembatalan lesen vokasional di bawah Seksyen 56(4)(b),” jelasnya.

Dalam usaha memastikan hanya pemandu yang berkualiti dilantik, Kementerian Pengangkutan (MOT) sedang membangunkan Sistem Pangkalan Data Pemandu Kenderaan Berat yang mengandungi maklumat latar belakang pemandu sebagai rujukan utama.

Selain itu, prosedur pemeriksaan kenderaan PUSPAKOM juga sedang ditambah baik dengan memperketat kriteria semakan termasuk aspek kecekapan brek, tayar, pemeriksaan visual serta muatan lori jenis tipper atau dumper. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN