KUALA LUMPUR: Seramai 139 rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan tawaran kerja masih terkandas di luar negara dengan sebahagian besar dikesan di Myanmar, Kemboja dan Laos.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, jumlah tersebut mewakili 21 peratus daripada keseluruhan 672 mangsa yang direkodkan sejak tahun 2021 hingga 4 Julai.
Beliau berkata, seramai 533 orang atau 79 peratus berjaya diselamatkan hasil tindakan bersepadu yang dilaksanakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pelbagai agensi berkaitan.
“Daripada 533 mangsa yang berjaya diselamatkan, seramai 431 orang (81 peratus) adalah lelaki, manakala 102 orang (19 peratus) wanita.
“Majoriti merupakan golongan dewasa iaitu seramai 517 orang (97 peratus), manakala 16 orang lagi adalah kanak-kanak di bawah usia 18 tahun,” katanya dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan Wong Shu Qi (PH–Kluang) berhubung jumlah rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan tawaran kerja di luar negara sejak 2018 hingga 2025, termasuk pecahan mengikut umur, jantina, negeri asal dan kaum.
Johor mencatatkan jumlah mangsa diselamatkan tertinggi iaitu 113 orang (21.2 peratus), diikuti Selangor (112 orang) dan Sarawak (92 orang).
Dalam aspek kaum, majoriti mangsa terdiri daripada kaum Cina iaitu seramai 531 orang (79 peratus), diikuti Melayu 86 orang (12 peratus), Iban 32 orang (lima peratus), India 18 orang (tiga peratus) dan selebihnya satu peratus terdiri daripada kaum lain termasuk Singh, Kadazan dan Serani.
Menurut Saifuddin, pihaknya memandang serius isu sindiket penipuan tawaran kerja luar negara yang memperdaya rakyat Malaysia khususnya dalam kalangan belia.
“PDRM terus memperkukuh usaha bersepadu bagi menyelamatkan mangsa, menumpaskan sindiket serta meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap ancaman jenayah ini,” ujarnya.
Beliau berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) komited memperluas operasi penyelamatan, meningkatkan kerjasama antara agensi serta mempergiat kempen kesedaran awam bagi melindungi rakyat daripada terus menjadi mangsa.
“KDN amat mengalu-alukan sebarang maklumat, aduan dan kerjasama daripada orang awam, NGO, komuniti diplomatik dan agensi swasta dalam usaha menoktahkan segera sindiket penipuan tawaran kerja di luar negara ini,” katanya. – UTUSAN










