Paramount nilai semula strategi San Francisco Coffee 

Paramount nilai semula strategi San Francisco Coffee 

JEFFREY CHEW
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Paramount Corporation Berhad (PCB) sedang menilai semula strategi dan arah tuju perniagaan bagi jenama San Francisco Coffee, susulan potensi yang belum dimanfaatkan sepenuhnya dalam pasaran makanan dan minuman (F&B) tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PCB, Jeffrey Chew berkata, walaupun mengakui syarikat bukan pakar dalam segmen kafe khusus, pihak pengurusan menyatakan komitmen mereka untuk mendengar pandangan pasukan operasi sedia ada dan membantu menyemak semula strategi pertumbuhan.

“Kami akan mendengar pandangan mereka, semak strategi sedia ada dan melihat bagaimana kami boleh menambah baik. Kami bukan pakar, tetapi kami boleh beri sokongan dari sudut pengurusan dan perancangan,” katanya dalam sesi bersama media di sini. 

Beliau turut berkongsi pengalamannya sebagai pengguna, yang pada awalnya kurang yakin terhadap jenama San Francisco Coffee, namun pendapat itu berubah selepas mencuba menu baharu kebelakangan ini.

“Terus terang, sebelum ini saya rasa makanan dan kopi mereka biasa sahaja. Tapi sejak beberapa minggu lalu, kami mula mencuba semula dan ternyata kualitinya meningkat, ada pelbagai pilihan seperti wrap dan pastri yang agak baik,” tambahnya.

Namun, Jeffrey berkata, Paramount melihat cabaran utama San Francisco Coffee bukan pada produk, tetapi pada kekurangan publisiti dan pertumbuhan rangkaian. 

“Oleh itu, strategi semasa sedang dikaji untuk memberi penekanan baharu bukan sebagai jenama kafe mewah, tetapi lebih kepada model makanan segera ringan, yang lebih sesuai dengan landskap pasaran semasa.

“Untuk mencuba kembali sebagai kafe kopi premium mungkin sudah terlambat. 

“Tetapi jika kita ubah kepada konsep snek segera dan makanan ringan, mungkin ada ruang. Ini juga boleh membantu kita dari sudut pemilikan ruang komersial,  jika kita ada ruang kosong dan sukar cari penyewa, mungkin kita boleh guna sendiri dengan kadar sewa lebih rendah,” katanya. 

Paramount turut melihat kelebihan mereka sebagai pemilik aset hartanah yang boleh digunakan untuk menyokong strategi pengembangan F&B dengan lebih kos efektif. 

Model hibrid antara pemilikan ruang dan operasi F&B memberi mereka kelebihan unik berbanding pesaing.

Texas Chicken, rangkaian restoran makanan segera, merupakan sebahagian daripada segmen F&B milik Paramount Corporation Berhad, bersama-sama dengan rangkaian San Francisco Coffee. 

Kedua-dua jenama ini menyumbang sebanyak RM426.7 juta atau 62 peratus daripada jumlah hasil syarikat sebanyak RM686.8 juta bagi tahun kewangan berakhir 2024. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN