KUALA LUMPUR: Seorang bekas jurujual kereta dihukum penjara 12 bulan dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah menyimpan senjata berbahaya jenis kerambit di tempat awam, Disember tahun lalu.
Tertuduh, Faizal Mohd. Kamaruzzaman, 41, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan pilihan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Mazuliana Abdul Rashid.
Mengikut pertuduhan, bapa kepada empat anak itu didakwa memiliki sebilah pisau berbentuk kerambit sepanjang 15 sentimeter yang digunakan bertujuan menyebabkan kecederaan di tepi jalan Telawi 1, Bangsar di sini pada pukul 11.45 pagi, 2 Disember 2024.
Dia didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Bahan-Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 (Akta 357) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Ravindejit Kaur memohon hukuman berbentuk pengajaran memandangkan kesalahan melibatkan senjata berbahaya di tempat awam dan boleh mendatangkan risiko keselamatan orang awam manakala tertuduh diwakili peguam bela, Tamara Anthony merayu hukuman ringan atas alasan anak guamnya menyesali perbuatan tersebut.
Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara selama 12 bulan bermula dari tarikh tangkapan serta dikenakan satu sebatan. – UTUSAN










