NUTP desak tubuh jawatankuasa khas tangani beban guru

NUTP desak tubuh jawatankuasa khas tangani beban guru

AMINUDDIN Awang (tengah) ketika sidang akhbar sempena Kajian Pertengahan Penggal NUTP Bagi Sesi 2023-2026 di Teluk Bahang, Pulau Pinang, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALIK PULAU: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) menggesa Kementerian Pendidikan menubuhkan satu jawatankuasa khas secara rasmi bagi menangani isu beban tugas guru yang semakin membelenggu warga pendidik.

Presiden NUTP, Aminuddin Awang berkata, penyelesaian yang tuntas masih belum dapat dirasai oleh lebih 400,000 guru dalam sistem pendidikan negara terutama di peringkat akar umbi yang sudah berlarutan sejak sekian lama.

“Kita mahukan penyelesaian terhadap isu beban tugas guru ini dapat dibuat walaupun isu ini sudah lama menjadi perbincangan kerana belum ada keputusan dalam aspek penyelesaiannya.

“Jadi, kita mahukan supaya ada satu jawatankuasa khas dibentuk secara rasmi oleh KPM bagi memastikan isu ini dapat diselesaikan secara komprehensif. Ini kerana guru tidak patut terbeban dengan tugas bukan bersifat profesional,” katanya dalam sidang akhbar selepas Kajian Pertengahan Penggal NUTP Bagi Sesi 2023-2026 di Teluk Bahang di sini hari ini.

Program kajian berbentuk persidangan selama tiga hari itu turut membangkitkan sembilan lagi isu utama yang akan diserahkan kepada pihak kerajaan termasuk Kementerian Pendidikan dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk tindakan lanjut.

Aminuddin berkata, satu lagi desakan penting NUTP ialah supaya kerajaan menggubal satu garis panduan khusus yang menghalang gangguan terhadap guru di luar waktu kerja, kecuali untuk situasi mendesak.

“Guru kini boleh diganggu sewenang-wenangnya menerusi aplikasi WhatsApp atau Telegram sama ada oleh pentadbir sekolah dan pihak Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).

“Ini tidak adil kepada para guru kerana mereka juga perlukan masa untuk keluarga. Kita mahu supaya sekiranya tidak ada keperluan mendesak guru-guru ini tidak diberikan tugasan di luar waktu kerja,” katanya.

Katanya, antara punca utama beban guru masih belum dapat diselesaikan ialah kerana sistem tidak mesra pengguna, terutamanya dalam urusan pengisian data secara atas talian yang sering menyusahkan guru.

Malah, katanya, perwakilan turut membangkitkan isu pembantu guru yang ditempatkan di sekolah tetapi akhirnya melakukan tugas pentadbiran di pejabat sekolah.

“Kita mahu skop tugasan yang jelas untuk pembantu guru supaya mereka benar-benar membantu guru, terutama dari segi pengisian data, bukan dijadikan pembantu tadbir sekolah,” katanya.

Selain itu, Aminuddin berkata, NUTP turut mendesak agar peruntukan bagi menggaji guru ganti ditambah dalam Belanjawan 2026 susulan kekurangan kumpulan itu yang kritikal ketika warga pendidik tetap bercuti bersalin, menunaikan haji dan sebagainya.

“Ketiadaan guru ganti menyebabkan guru sedia ada terpaksa bergilir-gilir mengambil alih kelas, sekali gus menambah beban kerja mereka. Perkara ini tidak boleh dibiarkan berulang,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN