PETALING JAYA: Lebuhraya Baru Pantai (NPE) dan Lebuhraya Sungai Besi (Besraya) akan ditutup sementara pada 3 Ogos ini, bagi memberi laluan kepada acara larian IJM Duo Highway Challenge Run 2025.
Menurut kenyataan Besraya, penutupan itu akan bermula dari pukul 1.00 pagi sehingga 11.00 pagi bagi memastikan acara tersebut dapat berjalan dengan lancar.
Katanya, antara laluan NPE yang terlibat adalah KM 1.8 di Bulatan Kewajipan (Subang Jaya) ke KM 11 ke arah Bangsar dan dari Kuchai Lama Entrepreneurs Park ke Plaza Tol Pantai Dalam di kedua-dua arah.
“Untuk Besraya pula, laluan yang ditutup dari persimpangan bertingkat Kuchai Lama sehingga ke Jalan Pandan 1 di KM 21.9 menghala ke Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) di kedua-dua arah,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif, Ts. Wan Salwani Wan Yusoff berkata, pengguna dinasihatkan menggunakan laluan alternatif bagi mengelakkan sebarang kesulitan sepanjang penutupan sementara itu berjalan.
“Pengguna boleh merujuk saluran media sosial rasmi NPE dan Besraya untuk mendapatkan maklumat mengenai laluan alternatif bagi mengelakkan kesesakan,” katanya.
Beliau berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memainkan peranan penting dalam memastikan keselamatan dan kelancaran lalu lintas sepanjang acara itu berjalan di kedua-dua lebuhraya itu.
“Pasukan pengurusan trafik serta kakitangan teknikal turut akan ditempatkan di lokasi-lokasi strategik bagi memastikan pelaksanaan acara berjalan dengan lancar.
“Semua pelari, penyokong serta penonton dinasihatkan supaya merancang perjalanan dan tiba lebih awal pada hari acara,” katanya. – UTUSAN










