KUALA LUMPUR: Penyanyi, Datuk Nora Ariffin, mendakwa pihaknya tidak menerima sebarang laporan daripada beberapa syarikat penerbitan muzik berhubung isu royalti hasil karya ciptaan Allahyarham suaminya, Johan Nawawi.
Kata Nora, pihak Music Authors Copyright Protection (MACP) tidak mempunyai sebarang kaitan berhubung isu royalti tersebut sebaliknya, memuji ketelusan syarikat terbabit kerana membantu memperjuangkan hasil karya Allahyarham.
“MACP telah menunjukkan komitmen yang baik dalam membantu mencari jalan penyelesaian terhadap isu yang saya bangkitkan. Kami sangat menghargai pendekatan mereka yang sudi mendengar dan cuba memahami kedudukan kami sebagai waris.
“Namun, saya menuntut penjelasan daripada lebih enam syarikat penerbitan muzik yang pernah bekerjasama dengan arwah suami saya kerana sehingga kini kami tidak mendapat sebarang maklum balas selepas menghubungi mereka pada 2021,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Nora berkongsi perkara itu ketika hadir di sidang media bersama MACP turut dihadiri anak lelakinya, Mohd Syakir Iman dan anak kepada komposer, Allahyarham Datuk Adnan Abu Hassan, di sini, pada Selasa.
Antara enam syarikat penerbitan muzik yang dipercayai pernah bekerjasama dengan Allahyarham Johan ialah Warner Chappell Music, Music Works, NSR Publishing, EMI Publishing, Sony Music Publishing, Good Sound Publishing dan beberapa syarikat yang tidak dikenali.
Sementara itu, anak kepada penyanyi lagu Di Persimpangan Dilema itu, Iman juga menegaskan pihaknya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang selepas sekian lama memberi ruang untuk menyelesaikan isu tersebut.
“Perkara ini sudah berlarutan selama tiga tahun. Kami juga sudah memberikan masa agak lama. Kalau boleh kami mahu selesaikan dengan cara baik. Tapi kalau cara itu tidak jalan juga kami akan bawa perkara ini ke mahkamah,” katanya.
Isu tersebut mula tercetus selepas Nora memuat naik sebuah hantaran yang mempersoalkan bayaran royalti lagu ikonik, Sinaran nyanyian Datuk Sheila Majid hasil ciptaan arwah suaminya yang sehingga kini hanya menerima RM60.
Nora bagaimanapun menegaskan dirinya tidak berniat menjadi perosak suasana atau ‘joy killer’ kerana memuat naik hantaran tersebut selepas penyanyi itu membuat pengumuman untuk mengadakan konsert.
“Saya menghormati Datuk Sheila Majid dan isu ini juga tiada sebarang kaitan dengan beliau kerana dia juga seorang penyanyi.
“Isu ini sudah bermain dalam fikiran sudah lama kerana lagu itu banyak dimainkan di pelbagai acara seperti majlis makan malam dan sebagainya. Kenyataan yang dikeluarkan itu juga hanya kebetulan,” ujarnya.-UTUSAN