PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan beliau bersikap terbuka sekiranya pembangkang mahu mengemukakan usul undi tidak percaya di Dewan Rakyat.
Anwar berkata, ini bukanlah kali pertama pembangkang mendakwa mahu membawa perkara itu ke Parlimen, namun masih tidak dikemukakan hingga kini.
“Dan ada cadangan Datuk Seri Hamzah Zainudin (Ketua Pembangkang) nak bawa usul undi tidak percaya, silakan.
“Kita terbuka, ini proses yang betul, nak bawa sila bawa, kata nak bawa (usul undi tidak percaya), dah tiga tahun,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan amanat pada Seminar Pemantapan Organisasi dan Jelajah Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Wilayah Persekutuan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.
Pada Himpunan Turun Anwar semalam, Perikatan Nasional (PN) memberi bayangan akan menghantar usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri.
Hamzah berkata, usul itu akan dipertimbang untuk dihantar kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.
“Tak apa, tunggulah. Kita akan lakukan nanti. Tak kan kita nak sebut (bila akan hantar usul berkenaan),” katanya. – UTUSAN










