PUTRAJAYA: Seramai empat orang murid yang terlibat dalam kes pergaduhan di sebuah sekolah akan digantung sekolah, manakala 14 orang murid lagi diberi surat amaran.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, tindakan tegas diambil selaras dengan prosedur disiplin yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan (KPM).
Beliau berkata, murid yang digantung sekolah akan mengikuti program khidmat masyarakat di bawah kelolaan pejabat pendidikan daerah.
Pada masa sama, katanya, sesi kaunseling turut dilaksanakan sebagai intervensi untuk membimbing murid mengubah tingkah laku mereka menerusi penerapan nilai-nilai murni.
“Saya hadir ke sekolah tersebut pagi ini bagi mendapatkan maklumat penuh kejadian dan tindakan yang telah diambil.
“Saya pertegaskan KPM tidak berkompromi dengan isu yang boleh menjejaskan keselamatan institusi pendidikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Fadhlina berkata, langkah-langkah pencegahan perlu dilaksanakan bagi memastikan ekosistem selamat dan kesejahteraan warga sekolah secara keseluruhan.
Terdahulu tular rakaman sekumpulan pelajar lelaki bergaduh dipercayai di sebuah sekolah menengah di Kuala Lumpur. – UTUSAN