KUALA LUMPUR: Malaysia menjadi sasaran ejen perisikan Israel, Mossad susulan pendirian tegas negara dalam mempertahankan Gaza dan hubungan baik dengan Iran.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, badan perisik antarabangsa termasuk Mossad memang dikenal pasti telah menghantar ejen mereka ke negara ini termasuk penggunaan pasangan suami isteri rakyat tempatan yang dipercayai bersubahat dengan agensi itu.
Beliau turut merujuk kes lampau membabitkan pembunuhan pensyarah Palestin, Dr. Fadi M R Al Batsh Fatma di Setapak pada 2018 yang dipercayai didalangi ejen asing, selain beberapa tindakan lain yang telah dikenal pasti dan diambil tindakan.
Katanya, ejen perisik ini cukup canggih dan pantas serta ramai yang sempat melarikan diri sebelum dapat dikenal pasti.
“Antara kes terkini ialah pasangan suami isteri Melayu dari Selangor yang dipercayai bekerjasama dengan Mossad untuk menyeludup senjata dari Thailand. Mereka telah ditahan dan kini berada dalam penjara,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat, semalam.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PNMachang) berhubung langkah kerajaan mengelakkan kemasukan ejen Mossad ke negara ini.
Anwar berkata, kerajaan mengambil langkah-langkah tambahan termasuk menerusi Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk mengenal pasti tindakan melibatkan penyeludupan senjata, dadah dan kehadiran ejen asing yang boleh menggugat keselamatan negara.
Wan Ahmad Fayhsal turut membangkitkan soal kerosakan sistem pintu automatik (autogate) yang dikhuatiri mengancam keselamatan negara namun Perdana Menteri berkata, masalah itu terkait dengan badan antarabangsa termasuk Polis Antarabangsa (INTERPOL) untuk ditingkatkan keupayaannya.
Dalam pada itu menurut Perdana Menteri, Malaysia tidak berkompromi terhadap sebarang tekanan atau ugutan termasuk kemungkinan dikenakan tarif tambahan 25 peratus oleh Amerika Syarikat (AS) susulan pendirian tegas negara dalam mempertahankan rakyat Palestin dan Iran.
Menurutnya, rundingan dengan AS masih diteruskan, namun Malaysia kekal dengan prinsip dan tidak akan tunduk kepada tekanan termasuk berkaitan hubungan rapat dengan Iran dan sokongan terhadap Palestin.
“Tarif Malaysia masih lebih rendah berbanding Vietnam, Kemboja dan Thailand namun kita anggap tindakan AS itu sebagai unilateral dan tidak adil.
“Presiden Brazil, Lula da Silva pernah dikenakan tarif 50 peratus oleh AS kerana kelantangannya membela Gaza. Kita belum tahu hasil rundingan terakhir, tetapi Malaysia tidak akan berganjak walaupun ditekan kerana prinsip kita jelas.
“Ia adalah unilateral melanggar semua prinsip WTO (Pertubuhan Perdagangan Dunia) dan perjanjian sedia ada. Pendirian Malaysia adalah berasaskan prinsip kemanusiaan dan keadilan sejagat serta selaras dengan undang-undang antarabangsa,” katanya.
Anwar berkata, Kabinet juga sebulat suara membuat keputusan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berhubung Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan atas faktor usia.
Meskipun kerajaan berpandangan keputusan Dr. Mahathir pada 2018 yang tidak meneruskan semakan kehakiman terhadap tuntutan ke atas Pulau Batu Puteh adalah kesilapan namun tindakan undang-undang tidak diambil bagi menghormati keadaan beliau.
“Kita ambil keputusan ini kerana ia melibatkan seorang bekas Perdana Menteri yang usianya sudah menjangkau 100 tahun.
Adakah beliau tidak melakukan kesalahan? Beliau memang bersalah, tetapi adakah kita perlu ambil tindakan? Saya dan Jemaah Menteri bersetuju untuk tidak ambil tindakan.
“Kalau tindakan diambil, nanti Kota Bharu (Datuk Seri Takiyuddin Hassan) akan menuduh kita tidak berlaku adil, saya tidak anggap keputusan ini berunsur politik, sebali
knya kerana usia,” katanya.
Pada 2008, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) memutuskan Batu Puteh milik Singapura, Middle Rocks kepada Malaysia dan South Ledge menjadi milik negara di perai
ran di mana pulau itu terletak.
Pada Jun 2017, Malaysia memohon kepada ICJ untuk meminta interpretasi penghakiman itu.
Pada 2018, kerajaan Pakatan Harapan di bawah pimpinan Dr. Mahathir, menarik balik permohonan membatalkan keputusan ICJ yang menganugerahkan
bidang kuasa undang-undang Batu Puteh atau dikenali sebagai Pedra Branca kepada Singapura. – UTUSAN










