KANGAR: Ketua Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, Asisten Komisioner Mohd Ismail Ibrahim, 59, dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Perlis, berkuatkuasa, semalam.
Menerusi pelantikan tersebut, Mohd Ismail turut dinaikkan pangkat sebagai Senior Asisten Komisioner dan menggantikan Senior Asisten Komisioner Baderulhisham Baharudin yang dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Kedah.
Sebagai rekod, Mohd Ismail telah memulakan tugas sejak 5 April 1987 dengan tempoh perkhidmatan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) selama 38 tahun.
Beliau merupakan pemegang Ijazah Sarjana Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Diploma Kaunseling Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Hadir sama dalam majlis berkenaan adalah Ketua Polis Perlis, Datuk Muhammad Abdul Halim.
Dalam pada itu, Mohd Ismail berkata, Perlis sememangnya tidak asing bagi dirinya berikutan beliau pernah berkhidmat di Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik di negeri ini.
“Saya akan melakukan yang terbaik dan meneruskan perancangan yang dirancang buat warga PDRM di negeri ini,” katanya.
Sementara itu, Muhammad berkata, pihaknya yakin pelantikan Mohd Ismail itu akan membantu IPK Perlis untuk terus mencapai lebih banyak kejayaan dari segi operasi dan pentadbiran.
Katanya, pengalaman luas dimiliki oleh Mohd. Ismail sebelum ini juga dapat membantu dalam membawa IPK Perlis lebih ke hadapan selepas ini.
“Dengan pengalaman beliau, kita akan adakan lagi pembaharuan daripada segi pentadbiran dan sebagainya,” katanya.-UTUSAN









