KUALA LUMPUR: Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Dr. Ramli Mohd. Nor ‘menutup’ mikrofon Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd. Sany Hamzan selepas ucapan beliau yang mengkritik pembangkang tersasar daripada topik soalan asal.
Tindakan itu diambil selepas Mohd. Sany terus-menerus mengingkari peringatan supaya tidak berbahas secara berpanjangan sehingga merugikan masa ketika mengajukan soalan tambahan.
Mohd. Sany dalam sesi itu mencabar blok pembangkang supaya membawa usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri sekiranya benar mereka meragui kepimpinan kerajaan sedia ada.
“Kalau betul ada usul undi tidak percaya kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, saya cabar pihak pembangkang untuk kemukakan usul tersebut secara rasmi,” katanya ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Namun demikian, suasana Dewan Rakyat menjadi sedikit tegang apabila Ramli mencelah dan memberi peringatan tegas supaya semua Ahli Parlimen mematuhi Peraturan Mesyuarat.
“Yang Berhormat, saya telah beri ruang untuk mukadimah soalan, bukan untuk berbahas. Saya tidak anggap kenyataan itu sebagai satu perbahasan dan saya tamatkan ruang untuk sebelah kanan (kerajaan) bertanya. Kita teruskan kepada soalan ketiga,” tegas beliau.
Dalam sesi itu, Mohd. Sany turut menyentuh insiden yang berlaku dalam satu perhimpunan memakai baju hitam baru-baru ini (Himpunan Turun Anwar) yang didakwa memanjatkan doa laknat, sedangkan doa sepatutnya membawa kesejahteraan dan keselamatan kepada negara.
Beliau juga membidas tindakan Ahli Parlimen Pasir Mas yang didakwa menghina Perdana Menteri dengan menggelarkan beliau sebagai ‘kera’, ‘monyet’ atau ‘beruk’ serta menyifatkan kenyataan itu sebagai biadab dan tidak bertamadun.
Tambahnya, penghinaan tersebut sangat tidak wajar, lebih-lebih lagi ketika negara baru sahaja mencatat kejayaan diplomatik menerusi usaha Perdana Menteri menyelesaikan isu antarabangsa melibatkan konflik perang.
Kejadian itu berlaku ketika Mohd. Sany diberikan ruang untuk mengajukan soalan tambahan kepada Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berhubung siasatan yang dijalankan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) terhadap aduan berkaitan kenyataan-kenyataan di media sosial.-UTUSAN