KUANTAN: Tiga lelaki bertekad terjun ke dalam sungai semata-mata mahu meloloskan diri daripada dicekup pihak berkuasa dalam serbuan operasi bersepadu melibatkan lapan agensi penguat kuasa di Sungai Belat di sini, semalam.
Dalam operasi sekitar pukul 10 pagi itu, dua daripada mereka bertindak lebih ekstrem apabila sanggup meniarap dalam sungai berlumpur di bawah jeti dengan harapan tidak dikesan pihak berkuasa.
Bagaimanapun, tindakannya itu sia-sia apabila kehadirannya dapat dihidu pasukan operasi yang mengepung kawasan tersebut menggunakan bot.
Lelaki terbabit pada mulanya enggan menyerah diri dan berkeras tidak mahu keluar dari persembunyian menyebabkan anggota terpaksa turun ke bawah jeti untuk menangkapnya.
Difahamkan, suspek berusia dalam lingkungan 40 hingga 50 tahun itu dipercayai terbabit dalam kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah di kawasan berkenaan dan telah diserahkan kepada Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) untuk tindakan lanjut.
Serbuan tersebut adalah sebahagian operasi OP Guardianjulung kali membabitkan lapan agensi penguat kuasa termasuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), AADK, Polis Marin, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Perikanan (DOF), Jabatan Laut Malaysia (JLM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
Timbalan Pengarah Operasi Maritim negeri, Kepten Maritim Mohd. Marmizi Md. Nor berkata, operasi bertujuan membanteras aktiviti yang menyalahi undang-undang khususnya di perairan negeri ini termasuk isu dadah dalam kalangan komuniti nelayan.
“Operasi selama dua hari satu malam ini dilaksanakan hasil risikan dan maklumat awam. Fokus utama adalah membanteras penyalahgunaan dadah yang dikenal pasti semakin berleluasa dalam kalangan nelayan.
“Malah, operasi ini juga dijalankan susulan titah Tuanku supaya pemantauan dan pemeriksaan dilakukan secara berkala terhadap kumpulan sasaran tertentu termasuk di jeti-jeti persendirian,” katanya.










