PETALING JAYA: Walaupun berhadapan masalah kewangan, anak kepada pelakon veteran Dharma Harun iaitu Muhammad Al Syafiq enggan melakukan kerja terkutuk termasuk tawaran ‘sewa tubuh’ oleh seorang individu dengan bayaran RM1,000.
Jelas Syafiq, 37, walaupun kehidupannya serba terdesak, dia tidak akan melanggar batasan agama sehingga mencalarkan nama baik keluarga.
“Kalau nak dicerita, memang banyak tawaran saya terima antaranya ada yang mahu sewa badan saya dengan bayaran RM1,000. Baru juga saya dapat mesej itu dalam awal bulan ini.
“Ada lagi tawaran lebih teruk saya dapat cuma tidak sesuai untuk saya kongsikan kepada umum. Memang saya tak balas, tolak mentah-mentah. Sesempit mana pun keadaan kewangan, saya masih tahu dosa pahala,” katanya.
Syafiq ditemui Utusan Malaysia di majlis Tayangan Khas filem Felai Fx di pejabat Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Petaling Jaya pada Khamis.
Bukan itu sahaja, Syafiq juga tampil membela diri menafikan dakwaan sesetengah pihak yang menyangkanya tidak bekerja. Ujarnya, dia bekerja sambilan sebagai barista dengan bayaran sekitar RM1,000 sebulan.
“Tapi gaji saya setakat SPM sahaja, memang tidak cukup menyara keluarga. Cuma saya nak jelaskan selama ini memang saya yang tanggung keluarga.
“Selain jadi barista, saya juga buat kerja sambilan seperti menjadi model atau menjadi pelakon tambahan. Tapi saya yakin, apabila sudah lulus nanti saya akan mendapat pekerjaan lebih baik untuk menyara keluarga,” ceritanya.
Terdahulu, anak Dharma iaitu Syafiq dan Siti Qurratu Aini menjadi tumpuan apabila terdapat segelintir warga maya yang bertindak melakukan ‘serangan’ di media sosial kerana masih bergantung kepada kewangan bapanya yang sakit.
Sebelum ini pelakon Adik Manja itu mendedahkan mengalami pelbagai masalah kesihatan hingga berat badannya turun mendadak ke 45 kilogram. -UTUSAN