PETALING JAYA: Siasatan awal polis mendapati kanak-kanak perempuan yang maut dipercayai didera ibu bapa angkat di Paya Jaras, Khamis lalu telah berada di bawah jagaan kedua-dua suspek sejak berumur tujuh bulan.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Mohd. Hafiz Muhammad Nor berkata, pihaknya telah merakam keterangan keluarga kandung kepada kanak-kanak perempuan yang kini berusia dua tahun itu.
“Polis masih menjalankan siasatan ke atas kedua-dua suspek yang sedang direman sehingga Jumaat ini.
“Berdasarkan siasatan awal, kanak-kanak terbabit dijaga oleh kedua-dua suspek itu sejak berusia tujuh bulan,” katanya di sini hari ini.
Sebelum ini, polis menerima laporan pegawai perubatan Hospital Sungai Buloh (HSB) mengenai kematian seorang kanak-kanak dengan kesan lebam, bengkak dan luka di seluruh badan selain kesan tompokan darah yang sudah kering di bahagian mulut serta hidung.
Mangsa sebelum itu dibawa ke hospital oleh suami isteri berusia 27 dan 28 tahun dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Mohd. Hafiz dilaporkan berkata, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh menahan pasangan berkenaan yang juga keluarga angkat mangsa.
Katanya, pasangan itu direman tujuh hari bermula 5 Julai sehingga 11 Julai ini bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001. – UTUSAN