PETALING JAYA: Malaysia dan Sri Lanka bersetuju untuk terus memperkukuh hubungan dua hala meliputi pelbagai bidang strategik seperti perdagangan, pelancongan, pendidikan dan tenaga kerja mahir.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, hubungan erat ini bukan sahaja membawa manfaat kepada kedua-dua negara tetapi juga menyumbang kepada kestabilan dan pembangunan serantau.
“Saya turut menyatakan penghargaan terhadap sumbangan berterusan Sri Lanka dalam membentuk masa depan rantau yang lebih inklusif, aman dan sejahtera.
“Malaysia akan terus bekerjasama rapat dengan Sri Lanka demi mencapai kemajuan bersama, bukan sahaja untuk rakyat kedua-dua negara, malah untuk memperkukuh komuniti ASEAN yang lebih bersatu, makmur dan berdaya tahan,” katanya di Facebook hari ini.
Sebelum itu, beliau menerima kunjungan hormat Menteri Hal Ehwal Luar Negeri, Pekerjaan Luar Negara dan Pelancongan Sri Lanka, Vijitha Herath, bersempena Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 (AMM) yang sedang berlangsung di Kuala Lumpur.
Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 (AMM), yang bermula pada 8 Julai lalu akan dijadualkan tamat pada esok Julai 2025, dengan acara-acara sampingan seperti Post‑Ministerial Conferences, ASEAN + 3, East Asia Summit, dan ASEAN Regional Forum. – UTUSAN