BESUT: Thailand dan Kemboja disaran menggunakan mekanisme Jawatankuasa Sempadan Am (GBC) bagi mencari jalan penyelesaian isu pergolakan membabitkan kedua-dua buah negara.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, rundingan perlu dilakukan oleh jawatankuasa kawalan sempadan berkenaan bagi membantu meredakan pergolakan yang berlaku.
“Biar GBC ini berunding dahulu dan cari jalan penyelesaian, biar GBC buat kenyataan. Maka kedua-dua pemimpin ini akan menyambut baik cadangan dan keputusan daripada jawatankuasa berkenaan.
“Saya cadangkan supaya rundingan ini dibuat serentak kerana setiap negara mempunyai kekuatan masing-masing serta tidak mahu mengalah,” katanya ketika hadir merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Besut di Gong Kemuntong, di sini, hari ini.
Mohamad berkata, sebelum ini beliau sudah berhubung dengan rakan sejawat dari dua negara berkenaan secara dalam talian dan menyarankan agar konflik berkenaan dapat segera diselesaikan dengan menggunakan saluran dialog serta diplomatik.
“Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN menyarankan penyelesaian menggunakan saluran terbabit namun ia hanya bertahan sekejap sebelum pertempuran kembali berlaku awal bulan ini.
“Selain itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menghubungi rakan sejawat beliau di Kemboja serta Thailand dan masing-masing setuju untuk membuat gencatan senjata,” katanya.
Menurut beliau, bagaimanapun ketegangan di peringkat bawah masih kuat dan gencatan senjata sepatutnya berlaku pada pukul 12 malam kelmarin lalu tidak dapat dikuatkuasakan.
Katanya, konflik antara Thailand-Kemboja tidak membabitkan rakyat Malaysia kerana tiada rakyat negara ini dikesan berada dalam kawasan bergolak.
“Rakyat Malaysia dilarang untuk dari masuk ke kawasan bermasalah sahaja dan bukan larangan ke negara Kemboja dan Thailand. Kedua-dua Kedutaan Besar Malaysia di Phnom Penh, Kemboja serta Bangkok, Thailand sentiasa membuka talian untuk membantu rakyat Malaysia di sana,” katanya. – UTUSAN









