PETALING JAYA: Malaysia meraih potensi nilai perdagangan sebanyak RM100 juta dalam tempoh tiga tahun akan datang, hasil penyertaan sulung Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) di pameran perdagangan The Fine Food New Zealand 2025 (FFNZ25) di Auckland, New Zealand dari 29 Jun hingga 1 Julai lalu.
Penyertaan ke pameran perdagangan antarabangsa itu di bawah Pavilion Malaysia, telah menampilkan lapan syarikat dari Malaysia yang memperkenalkan 125 produk ke pasaran New Zealand.
Produk-produk agromakanan yang diperkenalkan termasuk produk berasaskan durian, kek lapis Sarawak, biskut, produk buah-buahan kering beku (freeze-dried), produk kesihatan, ikan sejuk beku, produk minuman dan produk berasaskan nanas.
Kerajaan Negeri Perak turut membawa empat usahawan bagi menyertai FFNZ25.
“Pameran ini telah mendapat sambutan luar biasa daripada pengunjung setempat dengan menampilkan pelbagai aktiviti dan sesi persampelan makanan yang menarik perhatian ramai. Melalui program ini, sebanyak 156 pertanyaan perniagaan telah diperoleh dengan nilai potensi perdagangan sebanyak RM34.36 juta berjaya diraih,” kata KPKM dalam kenyataan.
Menurutnya, Pavilion Malaysia bertemakan `Taste of Malaysia’ telah dirasmikan oleh Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke New Zealand, Mazita Marzuki pada 29 Jun lalu.
Turut hadir, Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Abdul Rashid Bahri dan Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Pembangunan Usahawan Negeri Perak, Datuk Salbiah Mohamed.
KPKM bersama Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Zealand dan ASEAN New Zealand Business Council juga telah menganjurkan Business Networking Reception 2025 disertai lebih 60 pengeksport dari Malaysia dan pengimport dari New Zealand.
Sementara itu, Mazita dalam ucapannya berkata, produk agromakanan Malaysia bukan sahaja sedap tetapi juga berkualiti tinggi dan mampu memenuhi permintaan pasaran di New Zealand.
Abdul Rashid pula menyatakan: “Pavilion Malaysia turut mempromosikan Malaysia’s Best sebagai penjenamaan nasional bagi produk agromakanan yang berkualiti tinggi dan premium untuk menembusi pasaran baharu seperti di New Zealand.”
Menurut KPKM, hubungan perdagangan antara Malaysia dan New Zealand adalah teguh dan dinamik, disokong melalui penglibatan dalam empat Perjanjian Perdagangan Bebas. Selain mempromosikan produk-produk makanan, Pavilion Malaysia turut mempromosikan tahun melawat Malaysia 2026.
“Berdasarkan dapatan daripada penyertaan usahawan dalam FFNZ25, terdapat permintaan tinggi terhadap produk agromakanan Malaysia di pasaran New Zealand kerana kualiti produk yang premium, keunikan rasa dan menepati cita rasa masyarakat tempatan.
“Justeru, KPKM komited untuk terus menyokong usahawan tempatan meneroka pasaran antarabangsa, khususnya di New Zealand, sekaligus meningkatkan ekonomi negara,” katanya. – UTUSAN