Malaysia-Perancis teroka potensi teknologi tinggi

Malaysia-Perancis teroka potensi teknologi tinggi

ANWAR ibrahim bergambar pada majlis perjumpaan bersama rakyat Malaysia yang menetap di Perancis.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengharapkan penglibatan berterusan antara Malaysia dan Perancis akan memberikan manfaat jangka panjang kepada kedua-dua negara terutama dalam bidang berteknologi tinggi.

Perdana Menteri berkata, perkara itu menjadi antara topik utama yang dibincangkan dalam pertemuannya bersama Presiden Perancis, Emmanuel Macron sempena lawatan rasmi ke negara tersebut.

“Kita akan mencari jalan untuk meneroka perkara ini. Sebenarnya, kita telah mengembangkan ikatan bersama (Perancis) selama ini, bukan hanya membeli produk seperti kapal terbang tetapi juga membekalkan bahan untuk pembuatan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perjumpaan bersama rakyat Malaysia yang menetap di Perancis.

Menurut Anwar, Malaysia kini menjadi antara destinasi utama bagi industri berteknologi tinggi seperti elektrik dan elektronik, sekali gus membuka lebih banyak ruang untuk kerjasama strategik dengan negara-negara maju seperti Perancis.

“Pada masa lalu, kita banyak membeli kapal terbang daripada Airbus dan Boeing. Kini, kita ada syarikat tempatan yang menghasilkan bahagian untuk pembuatan pesawat tersebut di Malaysia,” jelasnya.

Justeru, Perdana Menteri menggesa pelajar Malaysia di Perancis agar memanfaatkan peluang menimba ilmu dalam bidang teknologi dan kepakaran strategik, sebelum kembali menyumbang kepada pembangunan negara selepas tamat pengajian.

Anwar dijadual mengadakan pertemuan empat mata bersama Macron di Istana Élysée, dengan pelbagai agenda utama termasuk perdagangan, pelaburan, tenaga boleh diperbaharui, semikonduktor, pertahanan, pendidikan, ekonomi digital dan kecerdasan buatan (AI) akan dibincangkan.

Kedua-dua pemimpin juga dijangka menyentuh isu krisis di Asia Barat, khususnya berhubung keadaan kemanusiaan di Gaza.

Perancis kekal sebagai satu daripada lima rakan dagang utama Malaysia dalam kalangan negara Kesatuan Eropah (EU).

Pada tahun 2024, perdagangan dua hala antara kedua-dua negara mencecah RM15.95 bilion (AS$3.63 bilion), dengan RM6.26 bilion (AS$1.49 bilion) direkodkan antara Januari hingga Mei tahun ini.

Selepas lawatan ke Perancis, Anwar dijadual berlepas ke Brazil bagi menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin BRICS yang berlangsung mulai esok hingga Ahad. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN