PETALING JAYA: Kerajaan akan mengenakan duti antilambakan sementara antara 3.86 hingga 57.90 peratus terhadap import gegelung atau kepingan besi dan keluli bergalvani dari China, Korea dan Vietnam.
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata, kerajaan mendapati terdapat bukti yang mencukupi bahawa pengimportan dagangan subjek dari China, Korea dan Vietnam diimport pada harga lambakan.
Katanya, duti sementara itu akan dilaksanakan selama tidak melebihi 120 hari bermula 7 Julai ini, sementara penentuan muktamad dijangka dibuat pada atau sebelum 3 November 2025.
“Kerajaan telah membuat penentuan awal berkenaan penyiasatan duti anti-lambakan tersebut sepertimana diperuntukkan di bawah Seksyen 23 dalam Akta.
“Siasatan ini dimulakan mengikut peruntukan di bawah Akta Duti Timbal Balas dan Anti-Lambakan 1993 serta Peraturan Duti Timbal Balas dan Anti-Lambakan 1994.
“Pempetisyen mendakwa dagangan subjek dari negara-negara berkenaan diimport ke Malaysia pada harga yang lebih rendah daripada harga yang dijual di pasaran domestik negara-negara tersebut dan menyebabkan kemudaratan material kepada industri tempatan negara,” katanya dalam kenyataan.
Tambah MITI, duti antilambakan dikenakan untuk mengelakkan sebarang kecederaan material lanjut terhadap industri tempatan semasa penyiasatan dijalankan.
“Pihak berkepentingan seperti pengimport, pengeluar, pengeksport asing dan persatuan industri berkaitan boleh menghantar maklum balas terhadap penemuan awal ini kepada MITI sebelum atau pada 14 Julai ini,” katanya. – UTUSAN








