KUALA LUMPUR: Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) berkaitan kerjasama strategik dalam bidang nuklear awam.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, perjanjian itu merupakan ‘pencapaian penting’ yang membuka lembaran baharu dalam hubungan dua hala khususnya dalam bidang keselamatan tenaga dan pembangunan lestari.
“MoU ini merupakan satu langkah penting dalam usaha memperkukuh perkongsian komprehensif Malaysia-AS,” katanya ketika berucap pada majlis penandatanganan MoU yang berlangsung di luar Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 dan mesyuarat berkaitan, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, hari ini.
Katanya, Malaysia melihat penerokaan tenaga nuklear sebagai elemen penting dalam strategi jangka panjang, juga memastikan keselamatan tenaga, merangsang pertumbuhan ekonomi serta membangunkan keupayaan negara.
Dalam pada itu, Mohamad turut mengumumkan kesediaan Malaysia untuk memulakan rundingan mengenai Perjanjian 123, iaitu satu kerangka undang-undang penting yang diwajibkan oleh AS sebelum sebarang kerjasama nuklear melibatkan pemindahan bahan, peralatan atau teknologi dapat dijalankan.
Sementara itu, Rubio juga menyifatkan langkah itu sebagai contoh bagaimana kerjasama nuklear awam dapat direalisasikan antara rakan yang diyakini, di samping mengekalkan tahap keselamatan, perlindungan dan pencegahan penyebaran nuklear.
“Kami amat teruja dengan perkara ini (MoU), yang saya percaya ia adalah isyarat jelas kepada dunia bahawa kerjasama nuklear awam adalah sesuatu yang boleh direalisasikan.
“Terdapat banyak negara di dunia, termasuk sebahagian daripadanya yang sering menjadi perhatian kebelakangan ini, yang telah menyatakan minat terhadap program nuklear awam. Ini contoh bagaimana ia boleh dilaksanakan dan kami amat berbesar hati kerana dapat menjayakannya bersama-sama rakan kongsi rapat,” katanya. – UTUSAN