PETALING JAYA: Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-269 yang berlangsung di Istana Negara hari ini membincangkan isu keselamatan negara, pelantikan hakim dan cadangan pengharaman rokok elektronik (vape).
Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad berkata, mesyuarat berkenaan dipengerusikan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
“Pada hari ini, majlis telah disembahkan taklimat terkini mengenai keselamatan negara oleh Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail dan mengenai pertahanan negara oleh Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohd. Nizam Jaffar,” katanya dalam kenyataan.
Syed Danial berkata, mesyuarat itu turut membincangkan mengenai pelantikan hakim termasuk Hakim-hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi, selain pelantikan Hakim Besar Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak, Presiden Mahkamah Rayuan serta Ketua Hakim Negara.
“Majlis juga mengambil maklum cadangan untuk mengharamkan sepenuhnya penjualan dan penggunaan vape atau rokok elektronik di Malaysia.
“Turut dibentangkan adalah Pandangan Hukum Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali Ke-126 dan 127, serta Resolusi Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah MKI Tahun 2025,” katanya.
Beliau berkata, majlis itu turut diberi maklum mengenai keperluan pendaftaran perkahwinan melibatkan pelarian dan pemohon suaka di Malaysia, serta kertas keputusan Jemaah Menteri berhubung cadangan dasar pengurusan harta yang disita dan dilucut hak secara berpusat.
Turut berangkat ke mesyuarat itu ialah Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail; Sultan Perak Sultan Nazrin Shah; Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah dan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Turut berangkat Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra; Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim dan Tengku Arif Bendahara Pahang, Tengku Muhammad Iskandar Riayatuddin Shah.
Mesyuarat turut dihadiri Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar; Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Dr. Mohd. Ali Mohd. Rustam; Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman dan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib. – UTUSAN