Mahu jual cerita, bukan pelakon popular - Jason Teo - Utusan Malaysia

Mahu jual cerita, bukan pelakon popular – Jason Teo

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penerbit, Jason Teo meneruskan inisiatif bapanya, David Teo yang sebelum ini sering membuka peluang kepada bakat-bakat baharu menyerlah dalam dunia drama dan perfileman tempatan.

Kata Jason, perkara itu ditunjukkan menerusi pemilihan pelakon filem pertama terbitannya, Citra Apartment yang selain Elisya Sandha yang memegang peranan utama, turut menampilkan pelakon-pelakon kurang terkenal.

“Kami mahu jual cerita, bukan pelakon. Sebab itu selain Elisya Sandha, pelakon lain dalam filem ini semuanya yang belum menonjol dalam dunia perfileman kita.

“Mereka bukan pelakon baharu, cuma masih belum menyerlah atau dikenali lagi. Jadi saya nak bagi peluang.

“Sama seperti ayah saya yang sebelum ini selalu juga menampilkan pelakon-pelakon yang belum ada nama dalam filem terbitannya,” katanya.

Jason berkata demikian pada majlis Tayangan Khas Filem Citra Apartment, baru-baru ini.

Filem arahan sutradara Amor Rizan itu turut menampilkan Ooi Liang Chia, Razdan Shamsudin, Hanna Halim, Rashid Jaafar dan ramai lagi.

Dalam masa yang sama Jason memaklumkan pihak produksi juga mengambil tempoh lama untuk menyiapkan filem tersebut.

“Kami mahukan cerita yang unik dan belum pernah difilemkan di Malaysia. Untuk itu sahaja kami terpaksa mengolah skrip filem ini lebih 10 kali.

“Pada masa yang sama, proses penghasilan kesan khasnya juga mengambil tempoh sedikit lama untuk mendapatkan hasil yang memuaskan,” katanya.

Filem yang disiapkan sekitar dua tahun lepas itu mengisahkan sekumpulan pelajar kolej yang berdepan pengalaman aneh ketika melakukan sesi fotografi di sebuah apartment terbiar. Citra Apartment telah ditayangkan sejak 3 Julai lepas. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN