KUALA NERUS: “Impian saya mahu jadi doktor pakar jantung, saya mahu ubah nasib keluarga.”
Demikian tekad pelajar cemerlang dari Temerloh, Pahang, Naufal Zulkarnain Muhammad Anuar, 18, yang membesar dalam serba kekurangan namun tetap gigih mengejar cita-cita.
Anak ketiga daripada enam beradik itu membuktikan bahawa latar belakang bukan penghalang untuk mencipta masa depan lebih baik buat diri dan keluarganya.
Lebih menyentuh hati, ibunya, Manisah Hassan, 45, seorang ibu tunggal berstatus orang kurang upaya (OKU) fizikal, hanya menyara keluarga dengan menjual kuih dan roti secara kecil-kecilan.
Katanya, ibunya banyak berkorban walaupun keadaan dia sendiri terbatas yang membuatkannya berusaha bersungguh-sungguh untuk berjaya dalam pendidikan dan hidup.
“Saya mahu ubah nasib keluarga dan banggakan ibu,” katanya ketika ditemui di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), di sini.
Naufal Zulkarnain memperoleh 9A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kini mengikuti Program Asasi Perubatan dan Sains Kesihatan UniSZA dan bercita-cita menjadi doktor pakar jantung.
“Saya pilih bidang ini sebab penyakit jantung antara punca utama kematian rakyat Malaysia. Kalau berjaya nanti, saya mahu bantu lebih ramai orang,” katanya.
Kisah Naufal Zulkarnain mencuri perhatian apabila UniSZA menghantar kenderaan khas ke rumah neneknya di Temerloh untuk membawanya ke kampus bagi mendaftar pengajian.
Menurutnya, walaupun kehidupan kampus mencabar, dia bersyukur kerana sentiasa menerima sokongan pensyarah dan rakan-rakan.
“Saya sangat berterima kasih kepada UniSZA kerana sanggup turun padang membantu dan ia sangat bermakna buat saya dan keluarga. Saya juga mohon bantuan komputer riba wakaf sebab belum ada laptop sendiri,” ujarnya.
UniSZA memaklumkan bantuan diberikan merupakan sebahagian daripada inisiatif dalam memastikan akses pendidikan saksama kepada pelajar kurang berkemampuan, selaras dengan komitmen tanggungjawab sosial institusi pendidikan tinggi.-UTUSAN











