PETALING JAYA: “Ada orang cabar saya menerusi sesi siaran langsung.”
Demikian kata pelakon, Harris Alif mendedahkan tujuannya menyertai kejohanan tinju Asia Championship 2025 untuk menyahut cabaran seorang aktor yang didakwa menghina keluarganya.
Enggan mendedahkan individu yang mencabar kejantanannya itu, Harris turut menganggap penyertaannya itu adalah untuk menuntut bela nasib keluarga dan isterinya yang dihina.
“Apa yang individu itu cakap ketika sesi siaran langsung tersebut sangat sensitif kerana dia melibatkan isteri dan keluarga saya. Katanya, saya berkahwin dengan isteri lebih tua dan menyentuh soal ibu saya.
“Mana saya nak letak maruah sebagai lelaki? Bila saya nampak ada pertandingan All Stars Championship ini dan namanya tersenarai, sudah tentu saya mahu sertai perlawanan ini,” katanya.
Dedah Harris, hubungannya bersama aktor berkenaan gagal menemui jalan damai selepas berlakunya sebuah pertelingkahan ketika menjalani sesi penggambaran di Sarawak.
“Sebenarnya ada kejadian yang berlaku di set penggambaran luar Kuala Lumpur kira-kira setahun lalu. Kami kenal daripada kecil, setelah sekian lama tidak berjumpa, saya perasan perubahan pada sikapnya.
“Senang kata dia punya kelakuan sangat biadab. Kemelut ini berlaku apabila saya menegurnya tapi tiba-tiba dia mengamuk. Saya pun manusia ada tahap kesabarannya. Bila sudah jadi seperti ini berlakulah sedikit pergelutan.
“Tapi kes ini dah selesai kerana selepas pergelutan itu, kami bersemuka dan mengakui kesalahan masing-masing dan saling bermaafan. Namun, baru-baru ini tiba-tiba dia mengundang kemarahan saya di media sosial,” ceritanya.
Difahamkan, Harris bakal berentap dalam kejohanan tinju Asia Championship 2025 yang bakal berlangsung pada 18 Oktober depan.