KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini memerintahkan bekas model, Persana Avril Sollunda menjalani rawatan dan pemerhatian psikiatri selama sebulan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjung Rambutan bermula hari ini.
Perintah itu dikeluarkan Hakim Norma Ismail selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Ravendejit Kaur bagi mendapatkan laporan kesihatan mental wanita berkenaan sebelum prosiding selanjutnya diteruskan.
“Mahkamah membenarkan tertuduh mendapatkan rawatan dan laporan penuh berkaitan kesihatan mentalnya,” katanya.
Mahkamah kemudian menetapkan 19 Ogos ini untuk sebutan semula kes.
Pada prosiding hari ini, Persana diwakili peguam bela, R. Mehgalaa yang tidak mengemukakan sebarang bantahan terhadap permohonan tersebut.
Pada prosiding terdahulu, wanita itu dibawa ke mahkamah oleh pihak polis dalam keadaan tangannya bergari selepas waran tangkap terhadapnya dikeluarkan oleh mahkamah sama.
Pada 19 Jun lalu, Persana, 43, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan membuat dan memulakan hantaran gambar di akaun TikTok miliknya pada 25 Februari lalu yang memaparkan sijil pernikahan palsu antara Tengku Mahkota Johor dan seorang wanita bernama ‘Crown Princess Ratu Shana’
Hantaran yang bersifat palsu dan dipercayai dibuat dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain itu di baca di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Menara KPJ pada pukul 10 pagi, 26 Februari lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. – UTUSAN










