MAHB perkukuh kerjasama AKPS, tingkat keselamatan lapangan terbang

MAHB perkukuh kerjasama AKPS, tingkat keselamatan lapangan terbang

MOHD IZANI GHANI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB) memperkukuh kerjasama strategik dengan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS)  bagi meningkatkan tahap keselamatan dan kecekapan operasi di lapangan terbang antarabangsa negara.

Pengarah Urusan MAHB, Datuk Mohd. Izani Ghani berkata, pihaknya menjalinkan hubungan kerja erat dengan AKPS sejak beberapa minggu lalu, khususnya dalam menangani isu-isu keselamatan dan kawalan sempadan di lapangan terbang.

“Sebenarnya, sebelum ini pun kami sudah mempunyai hubungan kerja yang baik dengan AKPS. Beberapa minggu yang lalu, mereka ada berbincang tentang lapangan terbang dan menyatakan komitmen untuk terus memberi sokongan agar kita dapat bekerjasama dengan lebih erat.

“Saya lihat penting untuk semua agensi berkerjasama di lapangan terbang, sama ada melibatkan isu imigresen atau keselamatan. Ini kerana apa pun yang berlaku di lapangan terbang, orang akan memerhati. Maka, semua pihak perlu bekerja bersama,” katanya dalam sesi taklimat media, di sini hari ini.

Menurut beliau, kerjasama pelbagai agensi termasuk Jabatan Imigresen dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah membuahkan hasil positif, apabila prestasi operasi dan aliran penumpang semakin baik di pintu masuk utama negara itu.

“Dengan kerjasama erat yang dijalinkan bersama Jabatan Imigresen dan agensi lain, keadaan di lapangan terbang kini jauh lebih baik. Kita juga telah dimaklumkan bahawa KDN mempunyai perancangan untuk membangunkan lebih banyak kemudahan berkaitan keselamatan di lapangan terbang,” ujarnya.

Tambah beliau, MAHB menyambut baik sebarang usaha kolaboratif yang bertujuan memperkukuh keselamatan, mempertingkatkan tahap kecekapan serta memastikan pengalaman yang lancar buat semua pengguna lapangan terbang di negara ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN