'Lupa' jadi alasan tidak pakai tali pinggang keledar

‘Lupa’ jadi alasan tidak pakai tali pinggang keledar

ZAMRI Samion (tengah) memantau pemakaian tali pinggang keledar penumpang bas dalam Op Pemakaian Tali Pinggang Keledar Bas Ekspres dan Persiaran di Chendering, Kuala Terengganu, Terengganu. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Terlupa menjadi alasan empat individu tidak memakai tali pinggang keledar yang dikenakan kompaun RM300 ketika Op Pemakaian Tali Pinggang Keledar Bas Ekspres dan Bas Persiaran oleh Jabatan Pengangkutan Jalan ( JPJ) Negeri Terengganu di Terminal Bas Kuala Terengganu, di sini, malam tadi.

Malah ada memberi pelbagai alasan seperti  tali pinggang keledar ‘terlekat’ atau pinggang terlalu besar dan tidak muat untuk memakai kelengkapan keselamatan itu apabila disoal penguat kuasa.

Pengarah JPJ Terengganu , Zamri Samion berkata, alasan yang diberikan tidak boleh diterima memandangkan sudah banyak hebahan di buat sebelum penguatkuasaan itu dilaksanakan mulai 1 Julai lalu.

“Justeru, kita mengingatkan kepada pemandu dan penumpang supaya lebih peka terhadap langkah keselamatan ini. Pada operasi yang dijalankan, penumpang yang tidak mematuhi peraturan itu masih tidak cakna terhadap penguatkuasaan yang dilaksanakan,” katanya selepas operasi itu.

Zamri berkata,  sehingga 3 Julai lalu, sebanyak 79 bas sudah diperiksa dan pemeriksaan diteruskan dari semasa ke semasa.

Sementara itu, kata beliau, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan wakil pengusaha bas  minggu hadapan bagi menyelesaikan isu berbangkit antaranya tali pinggang keledar yang rosak. 

“JPJ memandang serius perkara ini dan berharap pengusaha bas menangani masalah berkenaan secepat mungkin. Pemeriksaan yang dijalankan ini bertumpu kepada bas baharu iaitu tahun 2020 ke atas. Bagaimana pun, ada bas tahun 2024 pun tali pinggang keledar rosak kerana tidak diselenggara,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN