MUKADIMAH
PERTAMA kali dalam sejarah, Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu tidak mempunyai pembangkang selepas Pas menerusi Perikatan Nasional (PN) menyapu bersih 32 kerusi dipertandingkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023. Keputusan itu ibarat situasi ‘jatuh terduduk’ bagi UMNO.
Bagi Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, DATUK ROZI MAMAT, keputusan itu memberi keinsafan dan kesedaran untuk berubah serta bangkit menyusun langkah baharu. Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Telemong itu yang hampir dua tahun menerajui UMNO Terengganu berkongsi pandangan dan tekadnya kepada wartawan Utusan Malaysia, MOHD. SHARIZA ABDULLAH.
UTUSAN: UMNO Terengganu ibarat jatuh terduduk. Apa komen Datuk?
ROZI: Benar, PRN 2023 memberi tamparan hebat kepada UMNO Terengganu. Tetapi kita tidak berdalih, kita insaf dan kita belajar. ‘Terduduk’ bukan bererti tumbang. Bahkan dari titik rendah ini lah kami bangkit menyusun langkah baharu. Di bawah semangat ‘Melangkah Untuk Berubah’, kita bukan sekadar memperbaiki kelemahan tetapi mengorak perubahan menyeluruh, daripada segi pendekatan, organisasi hingga ke akar umbi. Dalam sejarah perjuangan pun, yang bangkit dari kejatuhan itu lah yang akhirnya menjadi lebih kuat.
UMNO Terengganu boleh dikatakan bermula daripada kosong. Mampukah bangkit semula?
Kita bukan bermula kosong, kita bermula daripada kesedaran. Ya, medan hari ini lebih sukar, tetapi semangat kami lebih kuat. Kami bina semula kepercayaan rakyat satu demi satu melalui program masyarakat, pemerkasaan akar umbi dan penyatuan semula pejuang lama serta baharu. Sejarah membuktikan, UMNO pernah bangkit dalam keadaan lebih genting. Bezanya kali ini, kita lebih rendah hati dan lebih bersedia. Insya-Allah, kebangkitan kali ini lebih jujur dan lebih utuh.
Dakwaan ada pemimpin UMNO Terengganu yang buat ‘kepala’ sendiri. Benarkah?
Saya tidak nafi dalam mana-mana organisasi besar, pasti ada perbezaan pandangan. Tetapi hari ini di bawah kepemimpinan baharu, kita bukan lagi bergerak ikut kepala masing-masing. Kita bergerak ikut hala tuju bersama. Saya tekankan prinsip keterbukaan dan kesetiaan organisasi. Siapa yang ikhlas mahu UMNO bangkit, dia bersama dalam pasukan. Yang penting, kita satukan kekuatan dan hentikan budaya berpuak. UMNO bukan milik individu, ia milik perjuangan.
UMNO giat adakan siri ceramah ‘Jelajah Terjah: Terengganu Patut Lebih Baik’. Apakah intipatinya?
Terjah bukan sekadar ceramah politik. Ia adalah medan mendengar denyut nadi rakyat, menyantuni suara akar umbi dan menjelaskan bagaimana UMNO ada tawaran yang lebih baik untuk Terengganu. Kita bandingkan dasar, kita bongkar kelemahan pentadbiran negeri sekarang dan kita tampilkan visi masa depan yang lebih realistik. Yang paling penting, kita bawa pendekatan politics of service (politik khidmat), bukan retorik semata-mata. Rakyat berhak dapat lebih baik dan UMNO sedia buktikan kita mampu beri yang terbaik.
Sasaran UMNO Terengganu menjelang pilihan raya seterusnya?
Sasaran kami jelas bukan hanya untuk menang kerusi tetapi menang kembali hati rakyat. Kita mahu kembalikan UMNO sebagai parti yang dipercayai, dihormati dan dirindui rakyat Terengganu. Kita sedang bina jentera yang segar, calon yang berwibawa dan tawaran dasar lebih baik daripada kerajaan negeri hari ini. Kalau dulu mereka beri janji, tetapi gagal tunai UMNO hadir dengan solusi. Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) bukan sekadar pertempuran parti, tetapi penentu masa depan Terengganu dan UMNO sedia pikul amanah itu. – UTUSAN










