‘Lima dekad saya tunggu hasrat ini tercapai’

‘Lima dekad saya tunggu hasrat ini tercapai’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANGGAL 16 Ogos ini bakal menjadi detik terindah buat pasangan ibu dan anak, Salamiah Hassan dan Atilia Haron. Buat pertama kalinya kedua-dua penyanyi ini digabungkan dalam sebuah konsert istimewa yang bakal dipentaskan di Plenari Theatre, KLCC. 

Konsert ini, yang dinamakan Gelombang Bahagiaku adalah impian terindah buat Salamiah dan Atilia selain disifatkan sebagai peluang keemasan yang hadir selepas penantian yang panjang. 

Bagi Salamiah, besar ertinya mengadakan konsert yang menyatukan beliau dengan Atilia yang merupakan satu-satunya penyambung legasinya dalam dunia seni tanah air. 

“Usia saya sudah mencecah lebih tujuh dekad, rasanya belum terlambat untuk memperkenalkan diri kepada audiens konsert kami nanti yang mana ada dalam kalangan mereka juga orang muda.

Oleh itu, izinkan saya lunaskan impian untuk memperkenalkan kepada mereka lagu-lagu saya yang ada antaranya tidak pernah diputarkan di radio. 

“Dan buat pertama kali saya bersama Atilia berkongsi pentas dalam konsert, tentu sekali saya teruja. Apatah lagi menyanyi dengan anak sendiri. Saya dan Atilia saling melengkapi meskipun ‘warna’ suara kami berbeza, 

“Bukanlah kami ini tidak pernah berkongsi pentas, cuma persembahan di konsert itu nanti akan menjadi lebih istimewa, perasaannya tidak akan sama. Lama saya tunggu peluang keemasan ini, kurang lebih lima dekad jugalah. Akhirnya menjadi kenyataan. Konsert ini saya anggap rezeki yang Allah sudah tentukan pada masa tepat,” katanya. 

Meskipun lama menyimpan harapan, Atilia sendiri mengakui dia sebenarnya tidak pernah menyangka impian untuk mempunyai konsert bersama ibunya akan menjadi kenyataan. 

“Saya dan mama bukan penyanyi nombor satu, tapi kami tidak pernah hilang dari radar seni malah sentiasa sibuk dengan aktiviti nyanyian kami. 

“Dan kami ini bukanlah penyanyi yang memiliki ribuan peminat fanatik. Sebab itu, hati kami tersentuh apabila ada yang sanggup beli tiket untuk hadir menyaksikan konsert kami nanti. “Saya dan mama juga terharu dengan sokongan pengamal media yang banyak menulis mengenai konsert ini, kami rasa seronok dan dihargai. Jarang kami dapat peluang seperti ini,” katanya. 

Atilia, dalam teruja dan gembiranya dia menghitung hari, sebenarnya menyimpan perasaan gemuruh untuk berkongsi pentas dengan ibunya yang merupakan penyanyi bertaraf legenda. 

Katanya, ‘magis’ seorang Salamiah Hassan tidak akan terganti atau dapat ditandingi. 

“Sebenarnya kami saling melengkapi kerana dalam saya ini gelabah ketika membuat persembahan, mamalah yang akan menenangkan saya. Dia seorang penghibur yang mempunyai kebolehan semula jadi ketika menyanyi di atas pentas. 

“Walaupun gemuruh, saya juga lega kerana berkongsi pentas dengan ibu sendiri yang juga seorang penyanyi legenda yang berpengalaman luas dalam bidang nyanyian,” kongsinya.

TIDAK KISAH DIBAYANGI IBU

“SAYA tidak terasa hati apabila dibandingkan dengan ibu sendiri, saya tidak boleh lari daripada terus dibayangi Salamiah Hassan.” 

Begitulah pandangan Atilia jika ada pihak yang sejak dahulu sampai sekarang terus melabelkan dia sebagai penyanyi yang masih menumpang nama ibunya. 

Baginya tiada istilah berkecil hati, malah sepatutnya yang terbit dalam sanubari adalah rasa bangga serta penghormatan kerana dikatakan dibayangi wanita cekal seperti ibunya sendiri. “Saya menyaksikan pengorbanan mama yang membesarkan anak-anaknya dengan titik peluhnya. Dulu, beliau menyanyi di tiga ke empat kelab untuk mencari pendapatan, menjahit sendiri bajunya yang koyak, pergi kerja menaiki bas dan sebagainya. 

“Dan apabila saya satu ketika dahulu dimarahi seorang produser kerana tidak menyanyi seperti Salamiah Hassan, saya tidak terasa hati kerana saya dibandingkan dengan ibu sendiri yang merupakan seorang wanita tabah. 

“Hakikatnya saya memang tidak boleh lari daripada dibayangi ibu saya dan tiada masalah kalau dikatakan saya ini masih menumpang nama ibu. 

“Saya menyaksikan pengorbanan mama yang membesarkan anak-anaknya dengan titik peluhnya 

“Malah saya mengalu alukan jika kami ini dibanding-bandingkan secara positif. Seperti sebelum ini apabila seorang berkata kalau suara Salamiah itu ibarat ‘emas’, suara saya pula umpama ‘sutera’,” kongsinya.

MENYANYI IKUT KEMAMPUAN

SALAMIAH Hassan pada usia kerjayanya yang menghampiri separuh abad, masih aktif menyanyi dan menghiburkan. Namun penyanyi bersuara emas ini akur dengan kebolehan nyanyiannya yang berubah dan menjadi lebih matang seiring peningkatan usia. 

“Kita kena terima bahawasanya, kemampuan kita akan berubah seiring pertambahan usia. Dan saya sedar tahap kebolehan nyanyian saya sekarang. 

“Saya tidak akan menyanyi seperti ketika usia saya 19 tahun. Sekarang kalau perlu, saya turunkan key untuk sesuaikan dengan kemampuan nyanyian saya. 

“Menyanyi bukan untuk mendera diri, sepatutnya ia menyeronokkan. Penonton tidak seronok melihat penyanyi yang menyanyi dalam keadaan sengsara dan terseksa. 

“Ini antara nasihat yang saya tinggalkan kepada Atilia. Menyanyilah ikut kemampuan, jangan sesekali paksa diri. Atas pentas kita kena bertenang,” katanya.  

Seperkara mengenai penyanyi yang kemunculannya dikesan menerusi program Bakat TV 1971 ini, sepanjang pembabitan dalam dunia seni suara selama ini, beliau tidak pernah meletakkan nama dan populariti sebagai perkara yang dikejarkan. 

“Saya tidak pernah meletakkan populariti sebagai tujuan utama menjadi penyanyi. Saya anggap nyanyian ini sebagai satu pekerjaan dan punca pendapatan untuk menyara keluarga, itu sahaja. 

“Saya bersyukur kerana saya mampu bertahan sampai sekarang dengan menyanyi menjadi sebagai satu satunya pekerjaan saya sejak dulu,” katanya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN