Lesen pemandu PSV, GDL digantung jika terlibat kemalangan

Lesen pemandu PSV, GDL digantung jika terlibat kemalangan

AEDY Fadly Ramly sewaktu sesi ucapan perasmian Majlis Penyerahan Lesen Memandu Program MyLesen B2 Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, di Dewan MPAJ, Taman Melawati hari ini. UTUSAN/IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pemandu pemegang lesen kenderaan barangan (GDL) serta Lesen Vokasional Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) akan digantung serta-merta sekiranya pemandu kenderaan perdagangan terlibat dalam kemalangan jalan raya dan sedang disiasat pihak berkuasa.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, penggantungan itu akan diteruskan sehingga siasatan selesai, dan lesen boleh dibatalkan jika pemegangnya didapati bersalah.

“Pemilik lesen vokasional yang digantung wajib menjalani program latihan semula sebelum dibenarkan kembali memandu atas faktor kompetensi dan pematuhan undang-undang,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Penyerahan Lesen Memandu Program MyLesen B2 Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, hari ini.

Sekiranya seseorang individu didapati bersalah atau dikenakan notis pelanggaran peraturan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 [Akta 333], lesen vokasional individu tersebut boleh dibatalkan oleh JPJ berdasarkan peruntukan di bawah Seksyen 56(4)(b) akta berkenaan.

Katanya lima kes penggantungan lesen vokasional telah dilaksanakan setakat ini membabitkan pemandu lori dan pemandu bas yang terbabit dalam kemalangan.

“JPJ turut memperluas penguatkuasaan terhadap penumpang bas yang tidak memakai tali pinggang keledar dengan mengenakan notis kesalahan bermula 1 Julai lalu.

“Berdasarkan statistik Ops Khas Pemakaian Tali Pinggang Keledar sehingga 6 Julai, sebanyak 510 notis dikeluarkan oleh JPJ terhadap pelbagai kesalahan.

“Daripada jumlah itu, 396 adalah penumpang dan kelindan yang tidak memakai tali pinggang keledar dalam bas ekspres, bas persiaran, bas sekolah serta kenderaan barangan.

“Sebanyak 80 pemandu turut dikesan tidak memakai tali pinggang keledar, manakala 26 kes melibatkan penumpang berusia 18 tahun ke atas yang turut tidak mematuhi peraturan tersebut,” katanya.

Sementara itu, lapan individu dan syarikat pemilik kenderaan dikesan langsung tidak memasang tali pinggang keledar di tempat duduk penumpang, melibatkan pemeriksaan terhadap 510 kenderaan di seluruh negara sepanjang operasi berkenaan.

Terdahulu, semua pemandu dan penumpang bas ekspres serta bas persiaran diwajibkan memakai tali pinggang keledar berkuat kuasa Selasa ini.

Aedy dilaporkan berkata, penguatkuasaan itu terpakai bagi bas yang dibina selepas Januari 2020, manakala bas yang dibina sebelum tahun 2020 akan diberi tempoh tertentu untuk membuat pemasangan tali keledar itu

Tegasnya, pemandu perlu memastikan semua penumpang memakai tali pinggang keledar sebelum bas bergerak dan mereka yang ingkar akan dikenakan saman sebanyak RM300. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN