GERIK: Seorang lelaki maut manakala rakannya parah selepas motosikal ditunggang mereka dipercayai terbabas di Kilometer 60.8, Jalan Kuala Kangsar-Gerik-Pengkalan Hulu dekat Kampung Kenering di sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 6.55 petang itu, penunggang, Mohd. Hishamudin Hamzah, 30, maut di lokasi kejadian manakala pembonceng, Mohammad Zulfadzli Md. Azizurahman, 26, pula cedera di beberapa bahagian badan dan patah kaki kanan.
Difahamkan, kedua-dua mangsa dari Kampung Kuak Hulu, Pengkalan Hulu itu dalam perjalanan pulang ke tempat kerja mereka di Cameron Highlands, Pahang.
Pemangku Ketua Polis Daerah Gerik, Deputi Superintenden Muhammad Firdaus Abdullah berkata, siasatan awal mendapati, motosikal jenis Yamaha Y15ZR ditunggang mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar besi penghadang jalan di sebelah kiri.
Katanya, akibat kemalangan itu, kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah namun penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Gerik untuk bedah siasat manakala rakannya yang cedera kini menerima rawatan di Hospital Taiping.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kemalangan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya di sini hari ini.
Orang ramai yang mempunyai maklumat kemalangan itu diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Siti Nursyahira Mohd. Saleh di talian 016-8287981 bagi membantu siasatan. – UTUSAN