Lelaki ditemukan mati dalam gaung dipercayai dibunuh - Utusan Malaysia

Lelaki ditemukan mati dalam gaung dipercayai dibunuh

MAYAT lelaki yang ditemukan dalam gaung di Kampung Batu 23, Jalan Pahang di Tapah Sabtu lalu. - UTUSAN/IHSAN JBPM PERAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAPAH: Polis mengklasifikasikan penemuan mayat lelaki dalam gaung di Kampung Batu 23, Jalan Pahang di sini pada Sabtu lalu sebagai kes bubuh.

Ketua Polis Daerah Tapah Superintenden Johari Yahya berkata, ia susulan hasil bedah siasat yang dijalankan Unit Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh mendapati punca kematian mangsa kerana dipukul dengan objek tumpul.

“Terdapat kesan lebam dan luka lecet pada kepala, muka, dada, belakang badan serta kedua-dua tangan mangsa. Punca kematian adalah disebabkan ‘multiple blunt trauma’ akibat dipukul dengan senjata tumpul.

“Kes itu disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, polis telah mengambil cap jari mangsa untuk mendapatkan identiti lelaki itu yang ditemukan berkemeja-T dan berseluar pendek hitam dalam keadaan terbaring di bawah tebing setinggi 15 meter di tepi jalan.

“Mereka yang mempunyai maklumat berkaitan diminta tampil di balai polis berdekatan atau terus menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah di talian 05-4011 222,” katanya.

Sabtu lalu, mayat lelaki dipercayai berusia dalam lingkungan 30-an ditemukan dalam gaung berhampiran Kampung Batu 23, Jalan Pahang, Tapah di sini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN