MELAKA: Hasrat seorang suami ingin menunaikan keinginan isterinya yang hamil menikmati makanan segera tidak kesampaian apabila motosikal dinaiki mereka ditahan dalam sekatan jalan raya di Batu Berendam, di sini malam tadi.
Dalam operasi bermula pukul 8 malam sehingga 12 tengah malam itu, pasangan berusia 30-an terbabit dikesan melakukan beberapa kesalahan termasuk penunggang tiada lesen, motosikal tidak memiliki cukai jalan dan sistem lampu brek serta isyarat rosak.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka, Siti Zarina Mohd. Yusop berkata, tindakan tersebut diambil mengikut peraturan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).
“Pasangan itu ditahan ketika sekatan jalan raya bersepadu malam tadi kerana motosikal yang ditunggang langsung tidak memenuhi syarat sah untuk berada di atas jalan raya.
“Malah, lampu brek dan lampu signal motosikal itu juga tidak berfungsi, yang sekali gus membahayakan pengguna jalan raya lain,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengetuai operasi bersepadu di Batu Berendam di sini.
Tambahnya, hasil soal siasat penunggang mendakwa isterinya hamil dan mereka dan dalam perjalanan ke sebuah restoran makanan segera.
Mengulas lanjut, beliau berkata sepanjang operasi itu sebanyak 745 kenderaan diperiksa dan 197 kesalahan pelbagai dicatatkan.
Sementara itu katanya, sebanyak 153 kesalahan tidak memakai tali pinggang keledar dalam bas telah dikesan pihaknya sepanjang pelaksanaan Op Khas Tali Pinggang Keledar yang dijalankan sejak 1 Julai lalu. – UTUSAN










