SUBANG JAYA: Siasatan polis mendapati masalah hutang dipercayai menjadi punca seorang lelaki dilarikan tiga individu dalam kejadian di Jalan Persiaran Puchong Permai, Puchong semalam.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, motif itu dikenal pasti susulan tangkapan seorang lelaki dipercayai terlibat dalam kejadian terbabit.
Beliau berkata, pihaknya sebelum itu menerima maklumat kira-kira pukul 6.38 petang daripada orang awam berhubung insiden pergaduhan itu.
“Siasatan mendapati mangsa yang merupakan seorang lelaki tempatan telah dibawa lari tiga individu dengan menaiki sebuah lori.
“Hasil maklumat diperoleh kemudian membawa kepada tangkapan salah seorang suspek iaitu lelaki tempatan berumur 32 tahun dipercayai terlibat dalam kes ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Katanya, semakan mendapati suspek memiliki dua rekod jenayah lampau dan turut mempunyai tatu sebagai ahli kumpulan kongsi gelap.
Jelasnya, siasatan mendapati kejadian berpunca serta bermotifkan masalah hutang.
“Suspek kini direman empat hari untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 365, Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966.
Polis masih mengesan tiga rakan sejenayah suspek yang masih bebas dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pusat Kawalan Daerah, Subang Jaya di 03-78627100.
“Maklumat juga boleh disalurkan dengan menghubungi atau pegawai penyiasat iaitu Inspektor G Dinesh di talian 011-33094457,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan polis sedang mengesan tiga suspek lelaki yang melarikan seorang lelaki tempatan dalam insiden pergaduhan di Jalan Persiaran Puchong Permai, Puchong. – UTUSAN