SEREMBAN: Seorang majikan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memperdagangkan saudaranya sendiri bagi tujuan eksploitasi sindiket penipuan kerja, bulan lalu.
Tertuduh, Jackson Choh Safri, 24, dari Sarawak bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Datin Surita Budin.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah memperdagangkan saudara lelakinya berusia 27 tahun untuk tujuan eksploitasi kerja dengan cara pemerdayaan.
Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 4 pagi di sebuah rumah di Youth City, Persiaran Pusat Bandar Nilai, Nilai pada 24 Jun lalu.
Tertuduh justeru didakwa telah melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.
Jika disabitkan salah, dia boleh dipenjara minimum 15 tahun dan tidak lebih 20 tahun dan boleh dikenakan denda RM500,000 tetapi tidak lebih RM1 juta dan boleh dilucutkan keuntungan daripada kesalahan itu.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Balkis Zunaidi manakala tertuduh diwakili Peguam Hafez Zalkapli.
Pihak pendakwaan menawarkan jaminan sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin bercagar beserta memohon tiga syarat tambahan.
Nurul Balkis juga mengesahkan mangsa adalah pekerja dan saudara kepada tertuduh sendiri manakala tertuduh pula bertindak sebagai majikan.
Bagaimanapun, pihak pembelaan kemudian merayu jumlah ikat jamin paling rendah dengan alasan tertuduh kini sudah tidak bekerja dan menanggung seorang adik orang kurang upaya (OKU) dan seorang kakak yang tidak bekerja.
Mahkamah kemudian nmembenarkan ikat jamin sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan tidak dibenarkan mengganggu saksi, melapor diri di balai polis berdekatan kediaman serta menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula bagi serahan dokumen ditetapkan pada 14 Ogos depan. – UTUSAN