PETALING JAYA: Hubungan dua hala Malaysia dan China mencapai tahap baharu susulan pemeteraian 31 dokumen persefahaman dan perjanjian strategik semasa lawatan rasmi Presiden China, Xi Jinping ke negara ini pada April lalu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pencapaian tersebut menjadi bukti kukuh keyakinan dan komitmen tinggi kedua-dua negara untuk terus memperkasa kerjasama dalam pelbagai bidang strategik.
“Lawatan Presiden Xi bukan sahaja memperkukuh hubungan dua hala yang telah terjalin sejak 50 tahun lalu, malah melonjakkan kerjasama ke tahap lebih menyeluruh merangkumi pelabuhan, gas asli cecair (LNG), pengurusan air, ekonomi digital dan teknologi hijau,” katanya dalam satu kenyataan.
Anwar sebelum itu menerima kunjungan hormat Menteri Luar China, Wang Yi di Putrajaya.
Anwar berkata, China kekal sebagai rakan dagang terbesar Malaysia selama 16 tahun berturut-turut dengan nilai dagangan mencecah AS$106 bilion pada 2024, termasuk lebih AS$36 bilion bagi tempoh Januari hingga April tahun ini.
“Kami juga berbincang usaha merapatkan jurang dagangan agar hubungan perdagangan lebih seimbang dan menguntungkan kedua-dua pihak,” katanya.
Dalam pertemuan itu, Perdana Menteri turut menyatakan penghargaan terhadap sokongan China terhadap Konsensus Lima Perkara ASEAN berkaitan krisis di Myanmar.
“Saya juga menegaskan pentingnya penyelesaian damai berasaskan undang-undang antarabangsa dalam isu Laut China Selatan, khususnya merujuk kepada Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCLOS),” katanya.
Malaysia dan China telah memeterai hubungan Perkongsian Strategik Menyeluruh sejak 2013 dan terus memperkukuh kerjasama dalam pelbagai aspek termasuk keselamatan serantau dan pembangunan mampan. – UTUSAN