MELAKA: Garis panduan penjagaan bayi di taman asuhan kanak-kanak (taska) perlu disemak semula termasuk larangan membedung bayi berusia lebih empat bulan.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti Melaka, Datuk Kalsom Noordin berkata, penelitian itu penting bagi mengelakkan perkara tidak diingini berulang, susulan kejadian seorang bayi lelaki berusia enam bulan maut di taska disyaki lemas tertiarap, minggu lalu.
Beliau berkata, kerajaan negeri akan berbincang dengan Kementerian Kesihatan (KKM) berhubung amalan berkenaan terhadap bayi berusia lebih empat bulan.
“Kita akan berbincang adakah sahih (patut) atau tidak patut seorang bayi itu dibedung. Tadi saya sempat bertemu seorang doktor dan mengatakan tidak wajar (membedung).
“Jika bayi di bawah usia empat bulan tidak mengapa tetapi lebih dari itu tidak digalakkan. Para pengasuh mungkin akan diberi advokasi (amalan berbedung) selepas ini,” katanya dalam sidang akhbar pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini, hari ini.
Minggu lalu, Utusan Malaysia melaporkan, seorang bayi lelaki berusia enam bulan meninggal dunia di sebuah taska di Padang Temu dipercayai akibat lemas selepas mangsa yang dibedung ditemui tertiarap atas tilam.
Sementara itu, mengenai kes penderaan di Melaka, Kalsom berkata, terdapat penurunan ketara pada tahun ini dengan hanya satu kes direkodkan setakat Jun lalu berbanding lima kes bagi tempoh sama pada 2024 yang kesemuanya berlaku di taska.
“Sementara itu, sebanyak 36 tindakan penguatkuasaan telah diambil ke atas pusat jagaan dan taska tidak berdaftar setakat Jun lalu. Denda dan kompaun berjumlah RM68,000 dikeluarkan dengan kesalahan tertinggi membabitkan kesalahan berkaitan pendaftaran,” katanya.-UTUSAN










