PETALING JAYA: Seramai lapan individu ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes kematian seorang lelaki yang dipercayai suspek kes ragut dalam kejadian di Batu 9 Cheras dekat sini, Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima satu maklumat awal pada 11.10 pagi daripada orang awam berhubung kejadian cubaan ragut terhadap seorang wanita berusia 36 tahun yang bekerja sebagai guru tadika.
Katanya, suspek yang merupakan seorang lelaki yang tidak dapat dikenal pasti identiti berjaya ditahan orang awam.
“Melalui maklumat tersebut, anggota polis bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati lelaki terbabit telah terbaring dalam keadaan cedera tidak sedarkan diri.
“Pegawai perubatan di lokasi kejadian mengesahkan suspek (mangsa) telah meninggal dunia dipercayai akibat kesan dipukul orang awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, siasatan pihak polis mengesahkan mangsa tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri serta dipercayai mangsa adalah warga asing.
Jelas beliau, mangsa berkulit cerah dengan ketinggian kira-kira 160cm, berpakaian baju t-shirt hitam dan seluar pendek berwarna hitam dengan logo ‘Adidas’.
“Bertindak atas maklumat, pihak polis menahan lapan lelaki warga tempatan berusia antara 22 hingga 72 tahun dipercayai terlibat dengan kejadian kematian mangsa bagi membantu siasatan, pada 7.46 petang hari kejadian.
“Kesemua individu yang ditahan dibenarkan reman selama enam hari bermula 23 hingga 28 Julai ini.
“Kes disiasat dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.
Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun dan jika tidak dihukum mati, hendaklah juga dihukum dengan sebatan yang tidak kurang 12 sebatan.
“Mana-mana individu yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kes ini atau butiran simati, boleh menghubungi pegawai penyiasat, Asisten Superintenden Ong Eng Yew di talian 012-6966849 atau mana-mana balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.
“Polis Daerah Kajang juga menasihati masyarakat untuk sentiasa mematuhi undang-undang dalam melakukan tangkapan serta segera menghubungi pihak berkuasa bagi tindakan sewajarnya,” katanya. –UTUSAN










