Kutipan kempen Selamatkan Harimau Malaya cecah RM2.1 juta

Kutipan kempen Selamatkan Harimau Malaya cecah RM2.1 juta

HUANG Tiong Sii (tengah) menyaksikan pemeteraian MoU itu di Shah Alam, Selangor hari ini. -UTUSAN/ ISKANDAR SHAH MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kutipan sumbangan bagi Kempen Selamatkan Harimau Malaya yang dilaksanakan sejak 2021 telah mencecah RM2.1 juta setakat ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Huang Tiong Sii berkata, kerajaan komited melaksanakan Pelan Tindakan Krisis Harimau Malaya 2021-2030 termasuk meningkatkan kerjasama dengan rakan strategik menerusi kempen itu.

Katanya, kerjasama itu meliputi sumbangan tanggungjawab sosial, kutipan hasil jualan tiket perlawanan bola sepak oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan penglibatan belia dalam program Rakan Muda.

“Setakat ini, FAM menyumbang kira-kira RM200,000 kepada Tabung Kempen Selamatkan Harimau Malaya melalui hasil jualan tiket perlawanan bola sepak.

“Kutipan kempen itu telah mencecah sebanyak RM2.1 juta dan terima kasih atas kerjasama semua pihak terlibat terutama FAM,” katanya.

 Beliau berkata demikian ketika membacakan ucapan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani pada majlis perasmian sambutan Hari Harimau Sedunia Peringkat Kebangsaan di sini, petang ini.

Pada majlis itu, Tiong Sii turut menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman antara Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan FAM selain sumbangan dana daripada rakan-rakan strategik. 

 Menurut beliau, Survei Harimau Kebangsaan Pertama mendapati jumlah Harimau Malaya dianggarkan kurang 150 ekor di negara ini dan akan hilang jika tiada tindakan drastik dilaksanakan.

“Jemaah Menteri pada 16 Jun 2021 bersetuju melaksanakan tindakan strategik luar biasa bagi konservasi harimau itu bermula 2021 hingga 2030.

 “Pendekatan itu turut meliputi usaha menghentikan penurunan populasinya dan  memperkasakan inisiatif bagi memastikan kelangsungan hidup Harimau Malaya,” ujarnya.

 Tambahnya, hasil pemantauan Perhilitan dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mendapati populasi harimau itu mencatatkan peningkatan.

 “Perkembangan ini memberi petunjuk positif terhadap usaha yang dilaksanakan termasuk pemuliharaan habitat melalui skim akreditasi dan pengiktirafan kawasan berkepentingan antarabangsa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN