KSN teliti kes MC palsu libat penjawat awam

KSN teliti kes MC palsu libat penjawat awam

SHAMSUL Azri Abu Bakar (tiga dari kanan) menerima lukisan potret daripada wakil Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) pada Program Jelajah Taat Setia Madani Peringkat Negeri di Ayer Keroh, Melaka. - UTUSAN/AMRAN ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Ketua Setiausaha Negara masih menunggu laporan lengkap berhubung kes penjualan sijil cuti sakit (MC) palsu yang dilaporkan berlaku di Sungai Petani, Kedah.

Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, setakat ini siasatan masih dijalankan pihak berkuasa dan akan dikemukakan kepadanya dalam masa terdekat.

“Siasatan masih berjalan dan laporan penuh akan diserahkan kepada saya secepat mungkin. Kita juga akan meneliti sejauh mana penglibatan penjawat awam dalam perkara ini dan semuanya bergantung pada laporan tersebut nanti,” katanya dalam sidang akhbar Program Jelajah Taat Setia Madani Peringkat Negeri di Ayer Keroh di sini, hari ini.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, tindakan seorang anggota polis yang kerap mengambil cuti sakit membawa kepada terbongkarnya kegiatan sindiket menghasilkan dan menjual MC palsu di Sungai Petani.

Sindiket membabitkan tiga lelaki itu tumpas selepas satu siasatan dalaman dijalankan terhadap anggota berkenaan.

Shamsul Azri dalam ucapannya berkata, kesetiaan penjawat awam kepada pemimpin negara tidak bersifat peribadi, sebaliknya merupakan cerminan kepada komitmen terhadap prinsip demokrasi berperlembagaan.

Katanya, ketaatan kepada pemimpin adalah asas kestabilan negara, keberkesanan tadbir urus serta kesinambungan dasar-dasar yang digubal secara sah.

“Sebagai penjawat awam, kita berkhidmat kepada kerajaan yang sah mengikut lunas undang-undang. Kita tidak terikat kepada mana-mana parti politik, sebaliknya kita terikat kepada sumpah jawatan yang telah dilafazkan untuk mendukung Perlembagaan dan menjunjung undang-undang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN