KPM- SPRM mantapkan latihan pegawai integriti, perkukuh tadbir urus awam

KPM- SPRM mantapkan latihan pegawai integriti, perkukuh tadbir urus awam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Program Pegawai Integriti Bertauliah atau Certified Integrity Officer (CeIO) merupakan satu inisiatif penting dalam membentuk barisan pegawai Kementerian Pendidikan yang kompeten dan bertauliah dan urus tadbir integriti.

Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Dr. Aminuddin Hassim berkata, program itu merupakan satu platform latihan strategik untuk melahirkan pegawai yang mampu merancang, melaksana serta memantau pelan tindakan integriti di jabatan masing-masing.

Katanya, program CeIO bukan sekadar sebagai platform latihan akan tetapi merupakan satu pelaburan penting.

“Program ini adalah satu pelaburan strategik dalam membina kapasiti dalaman berdaya tahan terhadap risiko rasuah serta penyelewengan.

“Ia juga berfokus dalam persekitaran pendidikan yang melibatkan jumlah sumber dan peruntukan besar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program CeIO Sektor Awam Siri 42 Bil. 2 Tahun 2025 Kementerian Pendidikan di Hotel Lexis Port Dickson, Negeri Sembilan, semalam.

Program anjuran MACA SPRM dengan kerjasama KPM ini menghimpunkan seramai 55 pegawai kementerian pelbagai skim perkhidmatan KPM seluruh negara.

Sejak dua tahun lalu, kerjasama antara KPM dan Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjadi tonggak penting dalam memperkasa pembangunan integriti dan tadbir urus baik dari segi sektor pendidikan.

Aminuddin berkata, kolaborasi itu merupakan pendekatan yang disusun secara sistematik dan bersasar untuk melahirkan pegawai berwibawa, berintegriti dan kepatuhan di peringkat jabatan serta agensi.

Katanya, kerjasama ini juga amat signifikan kerana ia sejajar dengan hasrat Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024–2028 yang menuntut keterlibatan sektor awam dalam pembudayaan integriti secara menyeluruh.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman dalam ucapannya berkata, CeIO berupaya menjadi penggerak utama dalam membudayakan pencegahan rasuah dan tadbir urus yang berintegriti di seluruh organisasi.

Beliau berkata, peranan ini penting bagi menyokong sasaran kerajaan untuk meletakkan Malaysia dalam kelompok 25 negara teratas Indeks Persepsi Rasuah (CPI) menjelang 2033.

“Sejak diperkenalkan pada tahun 2009, Program CeIO telah menjadi inisiatif strategik SPRM melalui MACA dalam memperkukuh integriti sektor awam, Syarikat Berkepentingan Kerajaan (SBK) dan sektor swasta.

“Sehingga kini, seramai 2,851 CeIO telah ditauliahkan yang mana ia adalah satu pencapaian membanggakan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN