PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) dan Majlis Amanah Rakyat (Mara) telah bersetuju untuk melaksanakan sistem tunggal bagi penawaran penempatan pelajar ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan sekolah khusus bermula pada tahun hadapan.
KPM dalam kenyataan memaklumkan, inisiatif ini memastikan isu pertindihan tawaran dapat ditangani serta pelajar terbaik dan yang benar-benar layak mendapat tempat.
Jelasnya, ia juga memastikan pengurusan sumber yang baik serta pengisian tempat di SBP, MRSM dan sekolah khusus dapat dilaksanakan secara optimum.
“KPM dan Mara memberi tumpuan kepada aspek pemilihan pelajar yang lebih adil dan inklusif.
“Penawaran sebanyak 60 peratus diperuntukkan kepada calon daripada keluarga B40 di kawasan luar bandar dan miskin bandar,” katanya hari ini.
Menurut KPM, calon Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) boleh memohon melalui Sistem Permohonan Sekolah Khusus.
Katanya, calon sekolah yang tidak berdaftar bawah KPM pula boleh memohon menggunakan sistem MyMRSM yang diuruskan oleh Mara.
“KPM dan Mara beriltizam mereformasikan ekosistem pendidikan negara demi manfaat murid, guru dan seluruh masyarakat,” katanya. – UTUSAN