JOHOR BAHRU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) negeri menyerbu sebuah gudang di Ulu Tiram, di sini yang dijadikan pusat penyelewengan gas petroleum cecair (LPG) membabitkan rampasan bernilai RM280,000.
Pengarahnya, Lilis Saslinda Pornomo berkata, dalam serbuan pukul 7 malam semalam yang turut disertai KPDN Putrajaya itu, seramai lima pekerja warga asing berusia 30-an hingga 40-an ditahan.
“Dalam serbuan ini, kita menemukan 1,357 unit tong gas LPG berisi dan kosong berkapasiti 14 kilogram yang gasnya akan dipindah ke dalam sebuah lori tangki.
“Sindiket kemudian dipercayai menjual gas berkenaan dalam pasaran gelap pada harga lebih mahal untuk mendapatkan keuntungan,” katanya dalam sidang akhbar di gudang tersebut, di sini hari ini.
Beliau berkata, pihaknya turut menemukan pelbagai peralatan yang digunakan sindiket untuk menjalankan kegiatan berkenaan sejak lebih sebulan lalu.
“Tindakan penguatkuasaan diambil di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961. Jika sabit kesalahan boleh didenda hingga RM1 juta atau penjara hingga tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama, manakala bagi kesalahan kedua dan seterusnya denda tidak lebih RM3 juta atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.
“Bagi pertubuhan atau perbadanan, denda tidak lebih RM2 juta bagi kesalahan pertama dan RM5 juta bagi kesalahan kedua dan seterusnya,” katanya.-UTUSAN