Kontraktor didakwa buat tuntutan palsu senggara kem askar 

Kontraktor didakwa buat tuntutan palsu senggara kem askar 

FAKHRUZIYAHDY Shaari menghadapi pendakwaan membuat tuntutan palsu di Mahkamah Sesyen Alor Setar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Seorang kontraktor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan membuat tuntutan palsu untuk kerja senggaraan sebuah kem tentera di Kubang Pasu, lapan tahun lalu. 

Fakhruziyahdy Shaari, 53, membuat pengakuan itu setelah pertuduhan tersebut dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim N. Priscilla Hemamalini. 

Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa menggunakan dokumen tuntutan yang diketahuinya palsu berkaitan kerja Senggaraan 16 CCTV di Pusat Pemulihan Pemasyarakatan (PPP) Kem Sultan Abdul Halim Muadzam Shah, Jitra yang bernilai RM50,000. 

Tertuduh melakukan perbuatan itu di Markas Stesen Staf, Kem Lapangan Terbang Sungai Petani, Kuala Muda pada 20 November 2017 dengan dokumen tersebut diserahkan kepada seorang ejen yang juga anggota Angkatan Tentera Malaysia. 

Melalui kertas pertuduhan tersebut juga menjelaskan bahawa dokumen berkenaan mengandungi butir matan palsu kerana kerja-kerja tersebut tidak disiapkan sepenuhnya. 

Kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd. Zulfadli Azharudin di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009, (Akta 694 – Undang-undang Malaysia) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.

Turut dibacakan pertuduhan pilihan dengan tertuduh didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama bagi kesalahan sama. 

Hakim kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM10,000 dan 19 Ogos sebagai tarikh sebutan semula kes. Tertuduh yang diwakili peguam Kamal Hisyam Jaafar membayar wang jaminan tersebut.  

Terdahulu, tertuduh merayu agar wang jaminan RM20,000 dikurangkan kepada RM5,000 memandangkan tertuduh tidak mempunyai pekerjaan dan terpaksa menanggung keluarga termasuk dua anak yang masih bersekolah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN